Pekerja pemasaran didakwa tipu MHO bagi dapatkan semula akaun Facebook
KUALA LUMPUR - Seorang pekerja pemasaran sambilan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menipu Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) bagi mendapatkan kembali akaun Facebook organisasi itu, April lepas.
Muhammad Nazari Mohd Rashid, 35, didakwa menipu MHO dengan memperdayakannya untuk menyerahkan wang RM6,000 ke dalam akaun bank miliknya bagi urusan mendapatkan kembali akaun Facebook MHO Malaysia.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah pusat perniagaan di Jalan Tun Razak di sini pada jam 3.45 petang, 15 April lepas.
Pertuduhan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dengan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Izzat Amir Idham menawarkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin manakala peguam Amer Ashrhaf Azuddin mewakili tertuduh memohon jaminan RM2,000 atas alasan anak guamnya tidak mempunyai pendapatan tetap dan perlu menanggung keluarga serta tiga anak.
Majistret Aina Azahra Arifin membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 3 Okt ini untuk sebutan kes. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!