Pempengaruh TikTok British puji keharmonian budaya Malaysia
KUALA LUMPUR - Pempengaruh Greg Larcombe yang dikenali menerusi akaun TikTok @greggetseverywhere menawan hati penonton dengan video terbaharunya yang meraikan kepelbagaian budaya Malaysia.
Dalam video berdurasi satu minit 40 saat itu, warga British berkenaan memaparkan kehidupannya di Sarawak yang dikelilingi budaya penuh warna-warni.
Videonya yang meraih 31,000 tontonan itu memaparkan Larcombe menyusuri jalan-jalan di Malaysia, sambil menunjukkan kekagumannya kepada gabungan budaya yang penuh harmoni yang mendefinisikan Malaysia.
Beliau turut menampilkan kepelbagaian seni bina, daripada masjid dan gereja Kristian kepada kuil, sekali gus menunjukkan kekayaan tradisi negara.
"Secara jujurnya, saya tidak pernah berasa gembira seperti sekarang dapat hidup dalam suatu masyarakat yang benar-benar majmuk. Ia membuatkan saya sangat gembira.
"Di bandar di mana saya berada sekarang pun, saya boleh menyusuri jalanan dan melihat masjid tersergam, gereja Kristian yang indah, dan pelbagai jenis kuil, dalam jarak berdekatan," katanya dalam video itu.
Larcombe jelas kagum dengan suasana itu sambil beliau menggariskan bagaimana agama dan budaya yang berbeza dapat wujud bersama serta meraikan kebersamaan dalam keamanan dan harmoni.
Videonya turut mengetengahkan kepelbagaian masakan Malaysia dalam kemeriahan pasar jalanan yang menawarkan makanan tempatan daripada laksa, pulut panggang, ladu, mi, roti canai dan kari serta cendol.
"Dengan kepelbagaian budaya yang luar biasa ini, anda dapat menikmati makanan lazat dan betapa hebatnya gabungan makanan ini," katanya.
Video itu turut menunjukkan bagaimana perayaan budaya dan keagamaan Malaysia yang berbeza-beza disambut sebagai hari cuti awam justeru menyatukan rakyat dari latar belakang berlainan.
Larcombe turut merakamkan semangat perayaan tempatan apabila penduduk pelbagai kaum beraya bersama-sama, menunjukkan perpaduan menerusi perkongsian kegembiraan.
"Dan walaupun setiap budaya disambut secara individu, sama ada Melayu atau Cina atau India atau Iban atau Bidayuh atau mana-mana budaya yang ada di negara ini, masih terdapat rasa penyatuan satu budaya yang menyatukan semua orang.
"Ini ialah negara orang ramai meluangkan masa bersama, tanpa mengira kaum atau agama mereka, di mana orang dari budaya berlainan dan agama berbeza beraya bersama, di mana mereka menikmati masa bersama,” kata Larcombe sambil mengakhiri video dengan mesej tentang tauladan yang boleh dipelajari dunia daripada keterangkuman Malaysia dan menghormati kepelbagaian.
Menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM 2026), pandangan Larcombe mengenai kepelbagaian budaya negara pasti menarik lebih ramai pelancong.
Tourism Malaysia telah memulakan usaha untuk menarik 35.6 juta pelancong antarabangsa untuk VM2026 dan antara strategi adalah memastikan penerbangan yang mencukupi dari negara mesra pengunjung seperti China.
Selain itu, perbincangan sedang berjalan antara Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dengan beberapa syarikat penerbangan untuk mewujudkan penerbangan terus yang menghubungkan wilayah kecil atau 'bandar peringkat kedua' di China dan Malaysia.
Baru-baru ini, Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Khairul Firdaus Akbar Khan berkata di Dewan Rakyat, Malaysia mencatatkan 7.56 juta ketibaan pelancong asing dari Januari hingga April tahun ini, berbanding 5.93 juta dalam tempoh sama tahun lepas.
Untuk rekod, pada 2023, negara menerima 20.1 juta ketibaan pelancong yang menjana pendapatan RM71.3 bilion iaitu melepasi sasaran 16.1 juta dan pada tahun ini, Malaysia menyasarkan 27.3 juta pelancong dengan pendapatan RM102.7 bilion daripada industri itu.
Sementara itu, Malaysia berada di kedudukan ke-10 Indeks Keamanan Global (GPI) tahun ini sebagai satu daripada negara paling aman di dunia menurut Indeks Institut Ekonomi dan Keamanan (IEP) 2024. - Bernama
@greggetseverywhere Replying to @lalainyakamu I agree, and it honestly means the world to me to live in a country that truly embraces multiculturalism and a respect for all religions #multicultural#malaysiatiktok#islam#christian#bettertogether original sound - Greg Larcombe
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!