Kolaborasi MATTA, MAG perkukuh industri pelancongan
KOLABORASI antara Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA Fair) dengan Malaysia Aviation Group (MAG) akan terus memperkukuh industri pelancongan selain menawarkan promosi menarik sempena pameran MATTA 2024.
Pameran yang akan berlangsung dari 6 sehingga 8 September depan di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) itu bakal mempamerkan pelbagai produk pelancongan domestik serta antarabangsa.
Presidennya, Nigel Wong berkata, kerjasama itu akan membantu memperkasa industri pelancongan dan penerbangan selain memberikan pengalaman hospitaliti terbaik kepada pelanggan.
Menurutnya, perkongsian strategik itu juga membantu memberikan pelbagai pilihan kepada pengguna dan memperkenalkan destinasi baharu.
“Penglibatan MAG secara signifikan mengukuhkan usaha dan kerjasama kami untuk memberi kepelbagaian pilihan perjalanan kepada pengunjung di Pameran MATTA selain menikmati pelbagai tawaran menarik.
“Pada tahun ini juga kita akan memperkenalkan pelbagai destinasi baharu yang semestinya akan menjadi pilihan pengunjung yang hadir,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat MATTA Jalan Metro Pudu 2, Off Jalan Yew, di sini pada Rabu.
Turut hadir, Ketua Jualan Global MAG, Syazwan Ahmad Sabri dan Timbalan Presiden MATTA, Sheikh Awadh Sheikh Abdullah.
Dalam pada itu, menurut Ketua Pegawai Komersial Syarikat Penerbangan MAG, Dersenish Aresandiran, sepanjang pameran itu berlangsung, mereka akan menawarkan diskaun eksklusif sehingga 30 peratus untuk tambang penerbangan domestik dan antarabangsa.
Tambah beliau, Malaysia Airlines dan Firefly juga akan menawarkan potongan sehingga 15 peratus untuk produk tambahan MH Traveller's Trio, Premium Bundle serta Value Bundle.
“Tawaran eksklusif ini sah dari 6 hingga 8 September 2024 melalui pameran fizikal dan platform dalam talian syarikat iaitu dari 5 hingga 16 September 2024 untuk perjalanan segera sehingga 31 Ogos 2025.
“Inisiatif ini menyerlahkan lagi dedikasi MAG untuk menawarkan pengalaman yang bermanfaat kepada pelanggan kami,” ujarnya.
Sementara itu, Sheikh Awadh berkata, MATTA akan terus mengekalkan dedikasi untuk menyediakan platform dinamik untuk mempromosikan peluang perniagaan.
Menurutnya, kerjasama dan perkongsian bersama pihak MAG membantu meningkatkan semula industri pelancongan selain memenuhi permintaan pelanggan.
“Kami akan terus mempromosikan pelbagai peluang perniagaan sambil memenuhi permintaan pengguna yang semakin berkembang,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!