ZPP ambil alih pengurusan Darul Hanan
BUKIT MERTAJAM - [DIKEMAS KINI] Zakat Pulau Pinang (ZPP) kini dalam proses mengambil alih pengurusan Pusat Jagaan Warga Emas Darul Hanan Pulau Pinang yang dijangka selesai awal tahun depan.
Timbalan Ketua Menteri 1, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid berkata, transisi pengambil alihan pengurusan pusat jagaan itu antara sebahagian penstrukturan semula yang dilakukan dalam agensi-agensi Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP).
Menurutnya, langkah itu dibuat bagi memperkasakan lagi pengurusan Darul Hanan sekaligus dapat memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada golongan asnaf terutamanya dikalangan warga emas dan fakir miskin di negeri ini.
"Tanggungjawab yang diberikan ini pastinya untuk memperkemaskan dan memperkasakan lagi Darul Hanan yang sebelum ini peranannya sangat aktif dalam membantu golongan asnaf.
"Selain itu, ZPP bukan sahaja berperanan menjaga penghuni yang berada di sini, malah seluruh kakitangan yang menjaga kelangsungan kehidupan dan operasi pusat jagaan ini," katanya ketika berucap pada majlis makan malam deligasi Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) dan Agensi Mengurus Zakat (AMZ), di sini pada Selasa.
Hadir sama, Ketua Pengarah Jabatan Wakaf, Zakat & Haji (JAWHAR), Datuk Selamat Paigo dan Mufti Pulau Pinang, Datuk Dr Mohd Sukki Othman.
Mohamad yang juga Yang Dipertua MAINPP berkata, ZPP memperuntukkan sebanyak RM3 juta pada tahun ini bagi perbelanjaan pentadbiran pusat jagaan itu selain menampung kos penjagaan penghuni warga emas termasuk perubatan mereka.
Jelasnya, dengan fasiliti lengkap dan selesa selain turut menyediakan pusat rehabilitasi serta pelbagai kemudahan lain menjadikan Darul Hanan sentiasa menjadi tumpuan pelbagai pihak terutamanya institusi zakat dari seluruh negara.
"Pusat jagaan ini boleh menempatkan seramai 200 orang penghuni bukan sahaja akan menjadi suatu pusat pembangunan warga emas contoh di Pulau Pinang malah menjadi model pengurusan pengelolaan yang terbaik di negara ini," katanya lagi.
Sementara itu, Mohamad berkata, dalam melonjakkan lagi keyakinan ummah terhadap agensi kutipan zakat di negeri ini, pihaknya turut membuat penstrukturan pentadbiran ZPP dengan mewujudkan jawatan Ketua Pegawai Projek.
Jelasnya, antara peranan yang perlu dilaksanakan iaitu menjalankan projek-projek khas termasuk dalam memperkasakan Darul Hanan yang sebelum ini diuruskan oleh badan bukan kerajaan (NGO).
Tambah beliau, melalui keputusan Ahli Lembaga Pengarah MAINPP memutuskan untuk melantik bekas Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif ZPP, Mohamad Khairi Ghazali untuk memikul jawatan berkenaan.
Selain itu katanya, beberapa jawatan lain juga akan diwujudkan dibawah agensi MAINPP tidak lama lagi bagi merancang serta menjalankan pelbagai projek pembangunan serta kemajuan yang akan dimanfaatkan oleh umat Islam di negeri ini.
<Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!