Malaysia #QuranHour ubah individu jadi lebih baik

Menerusi konsep tadabbur, seseorang akan lebih menghayati maksud sebenar isi kandungan al-Quran. Gambar kecil: Mohd Shahrul Rabbani.
Menerusi konsep tadabbur, seseorang akan lebih menghayati maksud sebenar isi kandungan al-Quran. Gambar kecil: Mohd Shahrul Rabbani.
A
A
A

SHAH ALAM - Malaysia #QuranHour bukan sahaja mendidik masyarakat untuk membaca al-Quran, namun ia menjadikan individu memahami, sedar dan berubah menjadi insan lebih baik dalam kehidupan.

Mudir Maktab Al-Quran Masjid At-Taiyibin Tanah Hitam Chemor, Perak, Mohd Shahrul Rabbani berkata, menerusi konsep tadabbur yang diterapkan, seseorang akan lebih menghayati maksud sebenar isi kandungan yang disampaikan ALLAH SWT.

"Membaca al-Quran dengan pemahaman yang mendalam dapat memperkaya rohani dan memberikan panduan yang lebih jelas dalam kehidupan seharian.

"Masjid ini akan turut serta buat kali kedua Malaysia #QuranHour pada 30 Ogos ini. Selepas sambutan tahun lalu, alhamdulillah ahli kelas mengaji yang saya kelola bertambah daripada 70 menjadi 120 orang.

"Mereka seronok untuk terus menggali ilmu ALLAH dengan tadabbur. Mereka semakin minat untuk faham ayat dan tafsir. Kini kami makin berkembang dengan membuka kelas tafsir pula," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Kempen Malaysia #QuranHour Masjid At-Taiyibin Tanah Hitam Chemor.
Kempen Malaysia #QuranHour Masjid At-Taiyibin Tanah Hitam Chemor.

Program Malaysia #QuranHour 2024 akan diadakan serentak di seluruh negara pada 30 Ogos ini di lokasi perdana, Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya bermula jam 10 hingga 11 pagi.

Artikel Berkaitan:

Slot tersebut akan bersiaran secara langsung melibatkan wakil media antaranya ialah Sinar Harian, Astro Oasis, TV9, Bernama, TV Alhijrah, Zayan, Astro Awani, Nu Ideaktiv, IKIM FM, Denaihati.com dan Radio Televisyen Malaysia (RTM) selaku penyiar utama Malaysia #QuranHour.

Tambah Mohd Shahrul, program Malaysia #QuranHour merupakan satu inisiatif yang mempunyai banyak manfaat kepada individu dan masyarakat.

"Dengan meneruskan dan membangunkan program ini, kita dapat mengeratkan hubungan dengan al-Quran, mengukuhkan komuniti, membentuk tabiat positif dan mendapat bimbingan yang berguna dalam kehidupan seharian.

"Dalam dunia yang sentiasa berkembang, mengekalkan hubungan dengan ajaran suci dan merenung maknanya tetap menjadi perkara yang paling penting.

"Jadi, sama-sama kita mengambil kesempatan untuk membaca, memahami, menyedari dan berubah ke arah kebaikan," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!