MSN Kelantan setuju beri insentif kepada atlet raih pingat Sukma

Zamakhshari (empat dari kiri) yang bertandang ke Sarawak bagi memberi sokongan kepada para atlet.
Zamakhshari (empat dari kiri) yang bertandang ke Sarawak bagi memberi sokongan kepada para atlet.
A
A
A

KERAJAAN Kelantan melalui Majlis Sukan Negeri (MSN) bersetuju memberikan insentif kewangan antara RM1,500 hingga RM4,500 kepada atlet atau pasukan yang berjaya meraih pingat pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak 2024.

Exco Jawatankuasa Belia, Sukan NGO dan Perpaduan Masyarakat negeri Kelantan, Zamakhshari Muhamad berkata, jumlah peruntukan itu dipersetujui selepas dibincangkan dan diluluskan MSN Kelantan.

Zamakhshari
Zamakhshari

“Kami akan memberikan insentif kewangan kepada atlet yang berjaya meraih pingat di Sukma iaitu bagi acara individu atau dua atlet meraih emas akan memperoleh setiap seorang RM2,500, perak (RM2,000) dan gangsa (RM1,500).

“Bagi acara berpasukan tiga hingga enam atlet, emas RM3,000, perak (RM2,500) dan gangsa (RM2,000), manakala untuk pasukan tujuh atlet ke atas, emas RM4,500, perak (RM3,500) dan gangsa (RM2,500),” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Exco di Kompleks Darulnaim, di sini, pada Rabu.

Menurut beliau yang juga Ketua Kontinjen Kelantan, setakat petang, Rabu, Kontinjen Kelantan berada di kedudukan ke-14 dengan meraih 17 pingat iaitu tiga emas, enam perak dan lapan gangsa di hadapan Brunei yang meraih enam pingan, satu emas, dua perak dan satu gangsa.

“Saya berharap atlet Kelantan akan meraih lebih banyak pingat dalam acara lain lagi.

Artikel Berkaitan:

Zamakhshari (kanan) yang tiba di Sarawak sempena Sukma 21.
Zamakhshari (kanan) yang tiba di Sarawak sempena Sukma 21.

“Kerajaan Kelantan mendoakan agar atlet melakukan yang terbaik bagi mengangkat nama negeri ini,” katanya.

Kelantan menghantar 400 atlet untuk menyertai 30 acara sukan yang dipertandingkan dan menyasarkan kutipan 56 pingat melibatkan 20 emas, 10 perak dan 26 gangsa pada temasya sukan dwitahunan itu.

Sukma 2024 menyaksikan 37 jenis sukan dipertandingkan membabitkan 488 acara terdiri daripada 236 acara lelaki, 217 acara wanita dan 35 lagi acara campuran lelaki dan wanita, selain melibatkan sembilan bahagian iaitu di Kuching, Samarahan, Serian, Sri Aman, Betong, Sibu, Mukah, Bintulu dan Miri.

Sementara itu, Zamakhshari berkata, Kerajaan Kelantan akan membuat penilaian prestasi semua atletnya dan melaksanakan langkah penyusunan semula sebagai persediaan menghadapi Sukma 23 di negeri itu pada tahun 2028 nanti.

“Perkara ini akan dimaklumkan dengan lebih terperinci selepas penutupan Sukma 21 di Sarawak kerana sekarang kita beri tumpuan atlet-atlet untuk meraih lebih banyak pingat,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!