Iran tidak jadi serang Israel?
DUBAI - Iran mungkin mengambil masa yang lama untuk melancarkan tindak balas terhadap Israel, kata jurucakap Pengawal Revolusi Iran Alimohammad Naini, lapor Reuters.
Asia Barat telah bersiap sedia untuk menuntut bela yang diakui Iran atas pembunuhan pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh di Teheran pada 31 Julai lalu.
Sehingga hari ini, Israel tidak mengesahkan mahupun menafikan bahawa mereka adalah dalang pembunuhan itu.
“Masa memihak kepada kami dan tempoh menunggu untuk bertindak balas bermungkinan panjang,” kata Alimohammad, merujuk kepada kemungkinan tindakan balas terhadap Israel.
Beliau berkata 'musuh' harus menunggu tindak balas yang dikira dan tepat.
Menurut media Iran, pemimpin Iran sedang menimbang keadaan dan tindak balas Republik Islam itu mungkin tidak mengulangi operasi sebelumnya.
Iran dan Hamas menuduh Israel melakukan serangan yang mengorbankan Haniyeh beberapa jam selepas beliau menghadiri majlis pelantikan presiden baru Iran, Masoud Pezeshkian.
Kematian beliau berlaku beberapa jam selepas serangan Israel di Beirut membunuh seorang komander kanan Hezbullah, kumpulan yang disokong Iran di Lubnan.
Amerika Syarikat (AS) telah meminta sekutu yang mempunyai hubungan dengan Iran supaya memujuknya meredakan ketegangan di Asia Barat, kerana Setiausaha Negara AS, Antony Blinken berada di rantau itu untuk mendorong kemajuan ke arah mencapai gencatan senjata Gaza.
Blinken mengakhiri lawatannya ke Doha, Qatar tanpa menghasilkan perjanjian gencatan senjata.
Negara perantara, AS, Mesir dan Qatar sudah pun mengadakan rundingan gencatan senjata minggu ini.
Alimohammad berkata, Teheran menyokong sebarang langkah yang membawa kepada penamatan perang di Gaza dan membantu rakyat Palestin memulihkan negara mereka.
“Kami tidak menganggap tindakan Amerika itu penuh ikhlas. Kami menganggap Amerika sebagai pihak yang terlibat dalam perang di Gaza," katanya.
Presiden AS, Joe Biden, sebelum ini berkata, perjanjian gencatan senjata di Gaza boleh menghalang Iran daripada menyerang Israel sebagai tindak balas terhadap pembunuhan Haniyeh yang menyebabkan ketegangan serantau meningkat.
Kenyataannya dibuat selepas Iran menolak gesaan Barat agar 'mengendurkan' ancaman pembalasannya terhadap Israel. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!