Culik 2 budak: Hukuman penjara peniaga pisang goreng ditambah kepada 36 bulan
KLANG - Mahkamah Tinggi di sini hari ini menaikkan hukuman penjara terhadap seorang peniaga goreng pisang kepada 36 bulan yang sebelum ini dipenjara 24 bulan atas kesalahan menculik dua kanak-kanak perempuan di Kuala Selangor, Julai lepas.
Hakim Norliza Othman juga menaikkan hukuman denda RM2,000 yang dijatuhkan Mahkamah Majistret Sungai Besar terhadap Mohamed Shariza Othman, 32, kepada RM6,000 atau empat bulan penjara sekiranya dia gagal membayar denda berkenaan dan memerintahkan hukuman itu berjalan serentak bermula dari tarikh sabitan di Mahkamah Majistret pada 25 Julai lepas.
Norliza dalam penghakimannya berkata, kes culik dua kanak-kanak perempuan, masing-masing berusia enam dan lapan tahun itu telah mendapat liputan meluas media serta sampai ke pengetahuan dan menarik perhatian beliau terhadap hukuman yang telah dijatuhkan ke atas tertuduh.
"Justeru, saya telah mengarahkan supaya kes ini dipanggil untuk semakan menurut Seksyen 325 Kanun Keseksaan,” katanya.
Beliau berkata, mahkamah memandang serius kesalahan culik dan membuat notis kehakiman kepada beberapa kes culik yang mengemparkan negara seperti Nurin Jazlin Jazimin, 8, yang mayatnya ditemukan dalam beg sukan selain Sharlinie Mohd Nashar serta Muhamad Asmawi Jalaludin yang sehingga kini masih belum ditemui selepas masing-masing hilang pada Januari dan Mac 2008.
Dalam penghakiman setebal 17 muka surat itu, Norliza berkata, walaupun tempoh masa kehilangan kedua-dua mangsa kira-kira dua jam, namun ia bukan sesuatu perkara yang boleh diremehkan.
"Apa yang lebih penting adalah walaupun dalam tempoh singkat, trauma yang ditanggung seorang ibu apabila mendapat tahu anak kecilnya diambil orang yang tidak dikenali, menaiki kereta tanpa diketahui arah dan tujuan pastinya merupakan satu perkara yang tidak boleh digambarkan atau diterjemahkan dengan perkataan,” katanya.
Norliza berkata, mengambil kira faktor umur mangsa di dalam kes itu, apalah daya mereka untuk melawan jika diperlakukan dengan perkara tidak sepatutnya dan lebih malang lagi sekiranya ditimpa musibah yang membawa kematian.
Beliau berkata, Mohamed Shariza sebagai seorang bapa sepatutnya lebih memahami naluri ibu bapa berbanding dengan orang yang tidak mempunyai anak.
"Ironinya, bersandarkan kepada alasan terlampau menginginkan anak perempuan, responden (Mohamed Shariza) bertindak menculik mangsa-mangsa di dalam kes ini," katanya.
Hakim itu berpendapat faktor kepentingan responden perlu diimbangi dengan kepentingan awam dalam kes ini dan hukuman yang dijatuhkan juga wajar bersifat ‘mencegah’.
"Ini bukan sahaja kepada responden daripada terus mengambil kesempatan ke atas kanak-kanak tetapi kepada seluruh masyarakat bahawa mahkamah tidak akan bertolak ansur terhadap perilaku jenayah culik terhadap kanak-kanak,” katanya.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Farah Aqilah Ahmad Fuad berkata, semakan terhadap keputusan Mahkamah Majistret itu perlu dilakukan bagi mengelakkan penetapan rujukan bagi kes akan datang yang melibatkan kesalahan penculikan di bawah Seksyen 363 Kanun Keseksaan.
"Hukuman yang diberikan adalah sangat rendah dan tidak mencerminkan kepentingan awam dalam kes ini kerana melibatkan keselamatan dua kanak-kanak yang diculik dari penjaga yang sah," katanya.
Pada 25 Julai lalu, Mohamed Shariza dijatuhi hukuman penjara 24 bulan dan denda RM2,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret atas pertuduhan menculik dua kanak-kanak perempuan daripada penjaganya yang sah di Taman Ikan Emas, Jeram di Kuala Selangor pada jam 6.30 petang, 19 Julai lepas.
Dia didakwa mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Mahkamah turut memerintahkan dia menjalani hukuman penjara itu bermula dari tarikh sabitan dan dipenjara dua bulan jika gagal membayar denda. Mohamed Shariza kini sedang menjalani hukuman di Penjara Kajang. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!