Terengganu selaras kenaikan gaji penjawat awam ikut Persekutuan

Penjawat awam di Terengganu bakal menerima pelarasan gaji sama seperti yang diumumkan Kerajaan Persekutuan. Gambar hiasan. Gambar kecil: Tengku Farok Hussin
Penjawat awam di Terengganu bakal menerima pelarasan gaji sama seperti yang diumumkan Kerajaan Persekutuan. Gambar hiasan. Gambar kecil: Tengku Farok Hussin
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Penjawat awam di Terengganu bakal menerima pelarasan gaji sama seperti yang diumumkan Kerajaan Persekutuan.

Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Datuk Seri Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil berkata, pihaknya akan mengumumkan kenaikan gaji tersebut berdasarkan pekeliling yang akan dikeluarkan kelak.

"Insya-ALLAH... kita akan melaksanakan penyelarasan gaji penjawat awam mengikut Pekeliling yang akan dikeluarkan nanti," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Rabu.

Pada 16 Ogos lepas, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pelarasan gaji sebanyak 15 peratus kepada pegawai Kumpulan Pelaksana dan pegawai Kumpulan Pengurusan dan Profesional.

Anwar yang juga Menteri Kewangan turut mengumumkan pelarasan gaji sebanyak tujuh peratus kepada pegawai Kumpulan Pengurusan Tertinggi (KPT).

Beliau berkata, pelaksanaan pemberian pelarasan gaji ini akan dilaksanakan secara berfasa iaitu pada 1 Disember 2024 bagi Fasa 1 dan pada 1 Januari 2026 bagi Fasa 2.

Mengulas lanjut, Tengku Farok Hussin menyatakan sejak dulu lagi, Terengganu tidak pernah gagal untuk mengikut Pekeliling berkaitan dengan pelarasan gaji kepada penjawat awam.

"Bermula dengan pelarasan gaji daripada Skim Gaji Kabinet kepada Skim Saraan Baru, Skim Saraan Malaysia hinggalah sekarang.

Artikel Berkaitan:

"Cuma kebiasaannya, kerajaan akan memberi pilihan kepada penjawat awam sama ada mahu mengikut skim baharu atau nak kekal skim lama..., jadi kena tengok Pekeliling dahulu," ujarnya.

Dalam pada itu, Tengku Farok Hussin berkata, kenaikan gaji penjawat awam perlu dipandang dari sudut yang positif kerana pelarasan kali terakhir yang dilakukan ialah lebih 10 tahun lalu.

"Mengambil kira situasi ekonomi semasa, kenaikan gaji penjawat awam adalah wajar dilaksanakan.

"Jadi, mereka perlu memberi perkhidmatan yang cemerlang kepada rakyat pelbagai lapisan," jelas beliau.

Ditanya mengenai kesediaan kerajaan negeri menambah peruntukan yang diperlukan bagi membiayai gaji penjawat awam di negeri ini, beliau berkata, pihaknya akan berusaha mencari sumber kewangan untuk melaksanakan kenaikan gaji tersebut.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!