'Wanita Terengganu patuh syariat Islam, bukan dipergunakan agama'

Zarani
Zarani
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Dewan Muslimat Pas Terengganu (DMPNT) menafikan dakwaan bahawa agama Islam digunakan untuk mengawal wanita di negeri itu sebaliknya semua peraturan ditetapkan dan diikuti bagi mematuhi syariat Islam.

Ketua DMPNT, Toh Puan Zarani Othman berkata, wanita di Terengganu tidak memilih tetapi patuh kepada ajaran agama Islam dalam segenap aspek termasuk sukan.

"Kami sebagai orang Muslim yang beriman tidak memilih. Kami patuh kepada ALLAH SWT kerana ALLAH telah memberikan pilihan yang terbaik.

"Sebagai wanita Muslim, kami Wanita Terengganu tidak memilih, tetapi kami komited untuk mengamalkan Islam dalam semua aspek kehidupan kami,” katanya ketika dihubungi di sini, pada Rabu.

Beliau berkata demikian bagi mengulas dakwaan sebuah pertubuhan yang mendakwa agama telah digunakan di negeri itu untuk mengawal kaum wanita dalam bidang sukan serta pelbagai aspek kehidupan.

Jelas beliau, golongan wanita tidak dipinggirkan dalam aktiviti sukan dimana kerajaan negeri turut menganjurkan Kejohanan Sukan Wanita Terengganu (SUKWA) pada 2022.

“Kejohanan ini merupakan platform penting untuk memperkasakan wanita dalam bidang sukan, sekaligus mempromosikan gaya hidup sihat dalam kalangan wanita negeri ini.

"Islam tidak melarang kaum wanita untuk bersukan tetapi bersukan dalam lingkungan yang selamat dan selesa,” jelas beliau.

Artikel Berkaitan:

Katanya lagi, Islam telah membawa ajaran serta cara hidup meliputi aspek kehidupan seperti makan, minum, ke tandas sehinggalah kepada perkara lebih besar berkaitan kenegaraan dan pemerintahan.

"Terengganu merupakan negeri terawal yang menerima serta mengamalkan Islam di Malaysia

"Tanggungjawab melindungi dan mengangkat maruah wanita telah bermula semasa kedatangan Islam melalui Nabi Muhammad SAW kerana pada zaman jahiliah, wanita dipandang rendah serta menjadi objek pemuas nafsu semata-mata.

"Dengan kedatangan Islam, kaum wanita diberi hak dan ruang untuk sama-sama terlibat dan menyumbang selagi mana pekerjaan yang dilakukan mengikut syarak dan menjaga adab muslimah," ujarnya.

Tambah Zarani, isu pengasingan dan kerusi khas bagi tempat duduk kaum wanita di stadium Terengganu juga adalah sama dengan langkah pengasingan koc wanita untuk Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Transit Aliran Massa (MRT) dan Transit Aliran Ringan (LRT).

Jelasnya, konsep pengasingan untuk menjaga hak, keselamatan dan maruah wanita di negeri itu ini telah dilaksanakan di beberapa peringkat.

“Antaranya, penglibatan golongan wanita dalam program persembahan kebudayaan, kesenian dan hiburan meliputi penonton dan mereka yang membuat persembahan, pawagam dan stadium serta peruntukan masa khas atau ruang untuk wanita sahaja di premis sukan, gym dan kolam renang.

"Langkah ini bertujuan memastikan keselesaan dan privasi wanita terjaga dalam setiap aktiviti yang mereka ceburi dan bukan menafikan hak kaum wanita untuk terus melakukan aktiviti yang disukai.

"Ini bukti jelas bahawa kerajaan Negeri Terengganu amat prihatin terhadap isu-isu yang melibatkan wanita dan sentiasa berusaha untuk memastikan golongan tersebut mendapat perhatian dan perlindungan sewajarnya," kata beliau.

Dalam pada itu, katanya, pelbagai inisiatif dan program telah dirancang dan dilaksanakan bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan wanita di negeri itu dijaga.

"Terengganu turut melantik Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) wanita serta mewujudkan jawatan pemandu wanita bagi menjamin keselesaan penjawat awam wanita," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!