Final Piala FA: Selangor FC mampu cipta kejutan

No Image Caption
A
A
A

PASUKAN Selangor FC mampu mencipta kejutan pada perlawanan akhir Piala FA 2024 menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Sabtu ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Anggerik, Najwan Halimi berkata, beliau menjangkakan Selangor mampu mencetak kemenangan 2-0 menentang pasukan JDT.

Menurutnya, kemasukan Faisal Halim semestinya akan memberikan nilai tambah serta meningkatkan semangat pemain memberikan saingan.

Najwan
Najwan

"Personaliti beliau sebagai seorang yang tenang dan licik di atas padang berupaya menggugat gawang JDT.

"Pemain Selangor FC berupaya membuat kejutan dan akan bermain dengan sepenuh daya sebagai satu pasukan untuk melakar kejayaan pada aksi final nanti," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Beliau yang juga Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor berkata, kerajaan negeri sentiasa konsisten mendukung dan membantu pasukan Selangor FC untuk memburu kejuaraan musim ini.

Pada masa sama, beliau menasihati para penyokong untuk bertenang dan saling menghormati dengan meraikan perlawanan ini dengan penuh semangat kesukanan.

Artikel Berkaitan:

"Jangan layan dan jangan cetuskan provokasi terhadap pasukan lawan," katanya.

Wei Kiat
Wei Kiat

Sementara itu, ADUN Rawang, Chua Wei Kiat turut yakin The Red Giants mempunyai peluang tinggi mencipta kejutan.

Katanya, keyakinan itu didorong berdasarkan pengurusan pasukan semakin mantap serta prestasi yang semakin memuncak kebelakangan ini.

"Tambahan pula, Faisal Halim yang walaupun belum pulih sepenuhnya namun akan turut bersama dalam pasukan.

"Ia akan menjadi suntikan semangat kepada semua pemain mahu pun penyokong untuk melihat Selangor FC beraksi dengan cemerlang pada malam Sabtu nanti," katanya yang meramalkan kemenangan 2-1 Selangor ke atas JDT.

Walau apa juga keputusan, beliau berharap penyokong kedua-dua pasukan mengekalkan semangat kesukanan dan menunjukkan kematangan kerana sukan adalah kunci untuk perpaduan dan bukan kunci perpecahan.

Jia Haur
Jia Haur

Manakala ADUN Teratai, Yew Jia Haur berkata, beliau menjangkakan perlawanan kedua-dua pasukan akan berlangsung sengit ke masa tambahan dan penentuan sepakan penalti.

"Sebagai penyokong Selangor sudah semestinya saya berharap Selangor FC mampu catat kemenangan.

"Cuma baru-baru ini semangat pasukan agak terkesan susulan insiden serangan asid ke atas Faisal Halim.

"Bagaimanapun apabila sudah sampai ke perlawanan akhir, pasukan perlu 'all out' untuk cipta kemenangan, " katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!