Empangan Nenggiri: Jakoa pantau Orang Asli terima pampasan tinggi elak dimanipulasi

Sapiah (dua,kiri) bersama Muhamad Nazri (kiri) menyampaikan pampasan kepada masyarakat Orang Asli yang terlibat dengan pembinaan Empangan Nenggiri pada pada Majlis Penghargaan dan Kerjasama Strategik Bersama Orang Asli Pos Tohoi dan Pulat di Gua Musang pada Rabu.
Sapiah (dua,kiri) bersama Muhamad Nazri (kiri) menyampaikan pampasan kepada masyarakat Orang Asli yang terlibat dengan pembinaan Empangan Nenggiri pada pada Majlis Penghargaan dan Kerjasama Strategik Bersama Orang Asli Pos Tohoi dan Pulat di Gua Musang pada Rabu.
A
A
A

GUA MUSANG - Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) akan memantau masyarakat Orang Asli yang menerima pampasan tinggi daripada projek Empangan Nenggiri di sini bagi mengelakkan mereka daripada dimanipulasi oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Ini ekoran kerana Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah membayar sebanyak RM10 juta sebagai pampasan kepada masyarakat Orang Asli di Pos Tohoi, Pulat dan Kampung Kuala Wias yang terlibat dengan projek hidroelektrik tersebut.

Ketua Pengarah Jakoa, Datuk Sapiah Mohd Nor berkata, antara langkah ketat yang akan diambil ialah menyekat kemasukan orang luar ke perkampungan Orang Asli bagi mengelak kejadian tidak diingini.

"Kita tidak mahu orang luar jual barang yang entah apa-apa kepada mereka (Orang Asli).

"Sebagaimana berlaku di Cameron Hinglands, saya dimaklumkan ada pihak mendakwa simkad yang harganya puluhan ringgit tetapi dijual pada ratusan ringgit kepada Orang Asli. Jika kejadian seumpama ini berlaku saya berharap ia terus dilaporkan kepada pihak polis," katanya semasa sidang akhbar pada Majlis Penghargaan dan Kerjasama Strategik Bersama Orang Asli Pos Tohoi dan Pulat di sini pada Rabu.

Hadir sama merasmikan majlis tersebut ialah Timbalan Setiausaha Kerajaan Kelantan (Pembangunan), Datuk Tuan Zainal Abidin Tuan Yusuf dan Pengarah Urusan TNB Power Generation Sdn Bhd (TNB Genco), Ir Muhamad Nazri Pazil.

Menurut beliau, selain itu Jakoa juga akan cuba memberi pendidikan berkaitan pengurusan kewangan kepada masyarakat Orang Asli dengan menjalinkan kerjasama dengan pihak bank.

Ujarnya, mereka (Orang Asli) akan diberi taklimat, perkembangan minda serta kepentingan simpanan melalui Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) bagi memastikan duit pampasan yang diterima diuruskan dengan betul.

Artikel Berkaitan:

Sinar Harian Online melaporkan, TNB membayar sebanyak RM10 juta sebagai pampasan kepada masyarakat Orang Asli yang terlibat dengan pembinaan Empangan Nenggiri di sini.

Muhamad Nazri berkata, bayaran tersebut dibuat berdasarkan kerosakan serta kehilangan bangunan serta hasil tanaman yang diusahakan oleh masyarakat berkenaan.

Setakat ini dua pembayaran pampasan telah dibuat iaitu pada 9 dan 14 Ogos lalu.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!