Kedai akuarium jual ikan larangan diserbu
KUALA LUMPUR - Sebuah kedai ikan hiasan di Jalan Klang Lama, di sini yang menjual spesies ikan larangan diserbu Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) pada Rabu.
Op Premis Akuarium bermula jam 12.30 tengah hari hasil aduan awam bertindak merampas 37 ekor ikan larangan iaitu peacock bass, alligator gar, pacu albino dan ikan bongkok dengan nilai anggaran RM8,155.
Pengarah Perikanan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Suhanah Kassiron berkata, spesies yang dirampas ini merupakan spesies larangan yang tidak boleh diimport, menjual, memelihara atau menyimpan ikan hidup mengikut Peraturan-Peraturan Perikanan (Larangan Import, DSB, Bagi Ikan) 1990.
Katanya, spesies ini boleh menjadi ancaman serius kepada ekosistem perikanan darat jika tidak dikawal.
"Selain operasi hari ini, jabatan juga telah merekodkan serbuan di sebuah premis di Taman OUG dengan rampasan 20 ekor ikan Flowerhorn bernilai RM17,800.
"Orang awam diminta melaporkan kepada DOF jika mendapati terdapat sebarang aktiviti penjualan ikan larangan sama ada secara terbuka atau tersembunyi," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Dalam pada itu, kata Suhanah, pemantauan sentiasa dilaksanakan pihak jabatan bagi tujuan hebahan dan program kesedaran.
"Sepanjang tahun lalu, Pejabat Perikanan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya telah menjalankan tiga program kesedaran melalui sesi taklimat melibatkan 130 orang golongan sasar yang terdiri dari penternak, syarikat dan usahawan.
"Program kesedaran ini juga digiatkan sepanjang tahun ini di mana risalah berkaitan ikan larangan ini juga diedarkan kepada orang awam dan juga komuniti perikanan," ujarnya.
Tegasnya, DOF akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang melanggar peraturan dan undang-undang berkaitan penjualan ikan-ikan larangan di kawasan ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!