Nelayan didenda RM20,000 miliki petrol tanpa lesen

Tertuduh dikenakan denda RM20,000 selepas mengaku bersalah memiliki barang kawalan petrol tanpa lesen di Mahkamah Sesyen Tawau.
Tertuduh dikenakan denda RM20,000 selepas mengaku bersalah memiliki barang kawalan petrol tanpa lesen di Mahkamah Sesyen Tawau.
A
A
A

TAWAU - Seorang nelayan dijatuhkan hukuman denda sebanyak RM20,000 di Mahkamah Sesyen Tawau, di sini pada Rabu, selepas mengaku bersalah atas kesalahan memiliki petrol yang diperoleh secara runcit tanpa sebarang lesen.

Tertuduh, Abdullah Asadan, 26, membuat pengakuan bersalah itu di hadapan Hakim Ahmad Faizadh Yahaya ketika pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Dia didakwa di bawah Seksyen 22(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) iaitu individu yang disabit dengan kesalahan boleh didenda tidak lebih RM1 juta atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Mahkamah memerintahkan tertuduh membayar denda tersebut dan jika gagal tertuduh dihukum penjara selama enam bulan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Ketua Pegawai Penguatkuasa Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Semporna, Jong Jee Leong.

Sementara itu, Jee Leong berkata, tertuduh ditahan oleh sepasukan polis di perairan Singgah Mata, Pulau Bum Bum, Semporna.

"Hasil pemeriksaan, tertuduh didapati memiliki 70 jerikin yang mengandungi 2,080 liter petrol sebagai barang kawalan yang disimpan dalam bot kayu.

"Bahan api itu disyaki cuba dibawa ke negara jiran iaitu ke Sitangkai, Filipina dan hasil pemeriksaan lanjut juga tertuduh didapati tidak memiliki sebarang lesen atau kebenaran berhubung minyak petrol yang dimilikinya," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!