Bawa masuk warga asing guna 'kaunter khas', 11 termasuk 4 penguat kuasa direman

Tindakan penguat kuasa yang menjadi tali barut kepada sindiket kemasukan warga asing ke negara ini membawa padah apabila modus operandi 'setting' kaunter dibongkarkan menerusi Ops Pump.
Tindakan penguat kuasa yang menjadi tali barut kepada sindiket kemasukan warga asing ke negara ini membawa padah apabila modus operandi 'setting' kaunter dibongkarkan menerusi Ops Pump.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman 11 individu termasuk empat anggota penguat kuasa sebuah agensi penguatkuasaan yang berkhidmat di Terminal Dua Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kerana dipercayai terlibat menerima rasuah yang membabitkan sindiket membawa masuk warga asing tanpa mengikut pemeriksaan sepatutnya.

Sumber berkata, seramai tiga penguat kuasa direman selama lima hari sehingga Ahad, manakala seorang lagi direman selama tiga hari sehingga Jumaat.

"Sementara itu, empat pemilik syarikat termasuk dua lelaki serta seorang wanita direman selama lima hari sehingga Ahad dan seorang wanita yang merupakan pemilik syarikat direman selama empat hari sehingga Sabtu.

"Turut direman selama lima hari sehingga Ahad ini adalah dua orang awam iaitu seorang lelaki dan seorang wanita yang dipercayai bertindak menjadi wakil ejen sindiket terbabit.

"Seorang lelaki yang merupakan pengurus syarikat turut direman selama empat hari sehingga Sabtu," katanya pada Rabu.

Kata sumber, perintah reman dikeluarkan oleh Majistret, Nadiah Abd Razak selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya pada Rabu.

Menurutnya, kesemua suspek berusia lingkungan 20 hingga 50-an ditahan bagi membantu siasatan terhadap satu sindiket membawa masuk warga asing menerusi Terminal Dua KLIA menggunakan modus operandi 'Counter Setting' atau laluan 'Kaunter Khas'.

Jelasnya, perbuatan sindiket tersebut dipercayai mendapat bantuan daripada pegawai penguat kuasa sebuah agensi penguatkuasaan.

Artikel Berkaitan:

"Sindiket ini dipercayai bersekongkol dengan beberapa pegawai agensi penguat kuasa yang bertindak mengatur laluan 'kaunter khas', khusus untuk kumpulan warga asing tertentu yang tiba di negara ini menggunakan khidmat penerbangan sejak beberapa tahun lalu.

"Menerusi laluan kaunter khas yang diatur ini, kumpulan warga asing yang menggunakan khidmat sindiket berkenaan akan masuk dengan mudah tanpa perlu melalui pemeriksaan mengikut prosedur yang ditetapkan berdasarkan Pekeliling Imigresen Bilangan 4 Tahun 2021," ujarnya.

Menurut sumber lagi, susulan operasi dijalankan, SPRM turut menyita beberapa pasport warganegara Pakistan dan Indonesia, 13 unit telefon bimbit, barang kemas serta kepingan emas selain wang tunai berjumlah lebih RM40,000.

Sumber berkata, kesemua suspek terbabit termasuk seorang penguat kuasa yang telah dilepaskan tanpa dibebaskan dengan jaminan SPRM sebelum ini ditahan menerusi Op Pump dijalankan di sekitar Lembah Klang, Pulau Pinang dan Kelantan sekitar jam 9 pagi hingga 6 petang pada Selasa.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Perisikan SPRM, Datuk Zainul Darus mengesahkan tangkapan terhadap kesemua suspek berkenaan.

Kata beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 16 Akta SPRM 2009.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!