UMNO ikrar pastikan UiTM kekal untuk Melayu, bumiputera - Zambry
KUALA LUMPUR - UMNO berikrar untuk terus memastikan Universiti Teknologi Mara (UiTM) kekal sebagai institusi pengajian tinggi bagi orang Melayu dan bumiputera, kata Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir.
Beliau yang juga Menteri Pendidikan Tinggi berkata, perkara berkenaan juga telah beberapa kali ditekankan Presiden UMNO yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Kita sebagai menteri daripada parti UMNO, salah satu perjuangan kita yang besar ialah bagaimana kita nak mempertahankan institusi MARA (Majlis Amanah Rakyat) yang ada kaitannya dengan UiTM.
"Baru-baru ini kita dengar macam-macam pasal UiTM, sebab itu presiden kita dan Perdana Menteri menekankan dan bersetuju agar UiTM ini perlu kita pertahankan. Kalau ada masalah kita selesaikan (dan) itulah komitmen kita,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada PENTalk, program yang antara lain membentangkan pencapaian kementerian dan negeri diterajui pemimpin UMNO dan diadakan sempena Perhimpunan Agung UMNO 2024.
Sementara itu, Zambry yang juga Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) berkata, kerajaan berhasrat melakukan anjakan besar dalam sistem pendidikan dengan turut memberi tumpuan kepada bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang diterajui Ahmad Zahid sebagai Pengerusi Jawatankuasa Majlis TVET Negara.
Beliau berkata, tumpuan itu diberikan bagi memastikan ratusan ribu anak muda yang tidak dapat melanjutkan pelajaran ke universiti diberikan peluang untuk maju ke hadapan.
"Kita akan pastikan mereka yang mengikuti TVET ini juga akan diberi ruang untuk melanjutkan pelajaran di peringkat lebih tinggi termasuk ke universiti sehinggalah ke peringkat ijazah doktor falsafah (PhD). Sistem pendidikan hari ini bukan lagi berasaskan kampus, ini anjakan besar dalam sistem pendidikan tinggi kita,” katanya.
Dalam pada itu, Zambry berkata, Malaysia kini turut melakukan pengantarabangsaan sistem pendidikan dengan lebih 140,000 pelajar antarabangsa kini melanjutkan pengajian di universiti dalam negara.
"Kita juga eksport sistem pendidikan tinggi Malaysia ke luar negara...sebab itu kita ada kampus luar pesisir di merata tempat, misalnya baru-baru ini Perdana Menteri merasmikan kampus Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Qatar,” katanya.
Program PENTalk dianjurkan Penerangan UMNO dihadiri 700 ahli parti itu menjadi platform kepada pimpinan UMNO terdiri daripada menteri, ketua menteri dan menteri besar untuk berkongsi pencapaian masing-masing dalam menerajui kementerian dan kerajaan negeri.
Selain itu, ia juga menjadi medan untuk pimpinan memberi penjelasan isu semasa kepada ahli sebelum menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!