Taman botani dibuka sepanjang pembinaan kereta kabel Bukit Bendera

Taman Botani Pulau Pinang akan terus dibuka kepada orang awam sepanjang tempoh pembinaan projek Kereta Kabel Bukit Bendera yang disasarkan siap menjelang Jun 2026.
Taman Botani Pulau Pinang akan terus dibuka kepada orang awam sepanjang tempoh pembinaan projek Kereta Kabel Bukit Bendera yang disasarkan siap menjelang Jun 2026.
A
A
A

GEORGE TOWN - Taman Botani Pulau Pinang akan terus dibuka kepada orang awam sepanjang tempoh pembinaan projek kereta kabel Bukit Bendera yang disasarkan siap menjelang Jun 2026.

Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang (PBBPP) berkata, hanya pusat penjaja semasa dan tempat letak kereta berhadapan dengan Pejabat Jabatan Taman Botani Pulau Pinang serta kawasan tempat letak kereta di luar Taman Botani Pulau Pinang akan ditutup sementara kepada orang ramai semasa fasa pembinaan projek berkenaan.

Menurut PBBPP, ketika ini, pengunjung digalakkan untuk meletakkan kenderaan mereka di tempat letak kereta Taman Bandaraya (Youth Park) atau tempat letak kereta Kuil Arulmigu Balathandayuthapani.

Perkhidmatan kereta kabel yang dijangka siap dalam suku ketiga 2026.
Perkhidmatan kereta kabel yang dijangka siap dalam suku ketiga 2026.

"Kedua-dua lokasi ini terletak berdekatan dengan taman botani. PBBPP akan terus bekerjasama dengan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) untuk mencari penyelesaian dalam menyediakan lebih banyak ruang letak kereta bagi kemudahan pengunjung terutama pada hujung minggu dan cuti umum.

"Pusat penjaja akan dipindahkan ke tapak sementara bersebelahan Pejabat Taman Botani Pulau Pinang. Peralihan ini dijadualkan berlangsung pada penghujung September ini bagi memastikan penjaja dapat meneruskan perniagaan mereka tanpa sebarang gangguan," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Tambah PBBPP, tapak pusat penjaja yang ada ketika ini akan diubah menjadi tempat letak kereta bertingkat dan kompleks komersial.

"Setelah siap, penjaja yang kini beroperasi di pusat penjaja sementara akan berpindah ke kompleks komersial tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Kami memohon kerjasama orang awam untuk mematuhi arahan keselamatan dan papan tanda yang dipasang di tapak tersebut," jelasnya lagi.

Menurut PBBPP, projek berkenaan bertujuan untuk meningkatkan status Bukit Bendera dan Taman Botani Pulau Pinang dengan penambahbaikan yang dirancang untuk kawasan tersebut.

"Projek yang dinanti-nantikan ini dijangka memberi sumbangan besar kepada sektor pelancongan di negeri ini serta membawa faedah sosio-ekonomi kepada penduduk setempat.

"Projek kereta kabel itu secara keseluruhannya akan menangani masalah tempat letak kereta dan kesesakan lalu lintas di sepanjang Jalan Kebun Bunga di samping menambah baik kemudahan awam untuk pengunjung Taman Botani Pulau Pinang," ujarnya.

Kata PBBPP lagi, kerja-kerja pemasangan 'hoarding' sedang dijalankan di sekitar Taman Botani Pulau Pinang dan di kawasan puncak Bukit Bendera, yang mana, ia disasarkan siap pada akhir September ini.

Sebelum ini, PBBPP mengumumkan pusat peranginan Bukit Bendera bakal menikmati perkhidmatan kereta kabel yang dijangka siap dalam suku ketiga 2026.

Projek Kereta Kabel Bukit Bendera itu bernilai RM245 juta itu mempunyai 2.73 kilometer panjang laluan dengan tiga buah stesen iaitu stesen taman, gelung belokan dan stesen bukit.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!