Hassan Karim kritik tindakan siasat Muhyiddin bawah Akta Hasutan

Muhyiddin sebelum ini menegaskan beliau langsung tidak mempunyai niat untuk menghina institusi raja. Gambar kecil: Hassan
Muhyiddin sebelum ini menegaskan beliau langsung tidak mempunyai niat untuk menghina institusi raja. Gambar kecil: Hassan
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim mengkritik tindakan pihak berkuasa menggunakan Akta Hasutan 1948 untuk menyiasat Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung ucapannya ketika kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri.

Beliau berkata, wujud kebimbangan apabila terdapat kecenderungan yang cuba menyempitkan ruang kebebasan rakyat dan pemimpin berucap atau menyatakan fikiran serta pendapat dengan mewujudkan momokan kesalahan di bawah 3R yang menyentuh isu kaum, agama dan raja.

"Kejadian terbaru adalah bila mana bekas Perdana Menteri ke-8, Muhyiddin Yassin yang merupakan seorang ahli Parlimen dan pemimpin gabungan parti politik pembangkang dan mempunyai 74 ahli Parlimen di Dewan Rakyat sedang disiasat di bawah Akta Hasutan 1948 atas ucapannya dalam sebuah ceramah umum PRK di DUN Nenggiri, Kelantan.

"Amat membimbangkan jika momokan 3R ini digunakan oleh agensi berkuasa dan kerajaan memerintah sekarang untuk menggunakan undang-undang yang draconian seperti Akta Hasutan 1948 untuk menafikan kebebasan bercakap dan bersuara," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Beliau menjelaskan, lazimnya Malaysia disebut sebagai sebuah negara demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan, yang membawa pengertian tersirat bahawa Malaysia adalah sebuah negara yang mengamalkan demokrasi.

Katanya, demokrasi rakyat itu ditegakkan melalui institusi Parlimen yang membawa erti ada pilihan raya dan kerajaan dipilih oleh rakyat.

"Dalam masa yang sama frasa raja berperlembagaan bermakna kuasa raja ditentukan oleh perlembagaan dan dalam masa yang sama sistem raja di Malaysia bukanlah sistem raja yang berkuasa mutlak atau 'absolute monarchy'.

"Pentingnya dalam urusan bernegara bahawa kuasa rakyat melalui konsep demokrasi berparlimen didahulukan berbanding konsep raja berperlembagaan dapat dilihat di dalam Perlembagaan Persekutuan yang menjadi undang-undang utama negara Malaysia," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, dalam soal kebebasan asasi, Perkara 5 Kebebasan diri yang menjadi teras utama demokrasi diletakkan di bahagian awal Perlembagaan Persekutuan iaitu Bahagian II susunan perkara Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, peruntukan perlembagaan bagi Yang di-Pertuan Agong contohnya Perkara 32 bahawa Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Utama Negara diletakkan di Bahagian IV Perlembagaan Persekutuan.

"Satu peruntukan yang jelas menunjukkan bahawa sistem raja mutlak tidak diamalkan di Malaysia ialah Perkara 40 Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan Yang di-Pertuan Agong hendaklah bertindak mengikut nasihat Jemaah Menteri.

"Satu peruntukan yang penting menunjukkan pada asasnya menurut undang-undang bahawa negara Malaysia sebuah negara demokrasi yang menolak sistem raja feudal yang mutlak ialah peruntukan Perkara 8 (1) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa semua orang adalah sama rata di sisi undang-undang dan berhak mendapat perlindungan yang sama rata di sisi undang-undang," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!