Atlet Terengganu botak rambut jurulatih lepas menang emas

Zainuddin (kanan) menunaikan nazar di atas kejayaan Armin meraih pingat emas Sukma Sarawak. Foto FB Wan Sukairi Wan Abdullah.
Zainuddin (kanan) menunaikan nazar di atas kejayaan Armin meraih pingat emas Sukma Sarawak. Foto FB Wan Sukairi Wan Abdullah.
A
A
A

SATU momen yang cukup menarik serta hiba melibatkan hubungan akrab seorang atlet dan jurulatihnya berlaku pada Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak 2024 di Stadium Sarawak, Kuching pada Selasa.

Situasi tersebut amat menyentuh hati Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah yang berkongsi kenangan indah itu menerusi Facebooknya.

Beliau memberitahu, momen tersebut berlaku sejurus Armin Zahryl Abd Latif diumumkan sebagai pemenang pingat emas acara 110 meter (m) apabila bergegas bertemu dengan jurulatihnya, Zainuddin Yusof.

"Antara momen yang cukup menarik perhatian dan menyentuh hati saya.

"Sejurus tamat dan diumumkan sebagai pemenang pingat emas 110m, saudara Armin terus meluru berjumpa dengan jurulatihnya, Zainuddin dengan linangan air mata serta penuh kesyukuran.

"Saudara Armin terlalu rapat dan akrab dengan jurulatihnya ini, umpama seorang bapa yang mendidik anaknya. Tidak hairanlah, kemesraan mereka tergambar begitu erat. Biarlah gambar berbicara," katanya menerusi catatan di Facebook.

Armin (kiri) memotong rambut Zainuddin. Foto FB Wan Sukairi Wan Abdullah.
Armin (kiri) memotong rambut Zainuddin. Foto FB Wan Sukairi Wan Abdullah.

Wan Sukairi turut mengambil kesempatan untuk bertemu Armin dan diberitahu bahawa beliau diminta untuk menunaikan nazar jurulatihnya itu untuk memotong rambut.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, Armin memberitahu bahawa jurulatihnya telah bernazar dari awal lagi dan menyatakan janjinya jika anak didiknya itu dapat merangkul pingat emas, maka beliau akan memotong rambut.

Malah beliau turut menanyakan mengenai nazar itu kepada Zainuddin.

"Saya ingin menaikan semangat diri saya sendiri untuk melatih Armin supaya beliau bersungguh-sungguh berlatih.

"Apabila dia tengok jurulatih sanggup untuk potong rambut demi dapatkan pingat emas, maka saya harap beliau juga akan termotivasi.

"Alhamdulillah, akhirnya impian dan harapan telah tercapai. Tahniah buat saudara Armin Zahryl dan jurulatihnya, Zainuddin," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!