Polis kesan Julian bantu siasatan kes pecah rumah Tan Sri

Polis sedang mengesan Julian bagi membantu siasatan kes pecah rumah melibatkan kediaman pegawai tinggi kerajaan bergelar Tan Sri di Nilai Impian dalam kejadian 13 Ogos lalu.
Polis sedang mengesan Julian bagi membantu siasatan kes pecah rumah melibatkan kediaman pegawai tinggi kerajaan bergelar Tan Sri di Nilai Impian dalam kejadian 13 Ogos lalu.
A
A
A

NILAI - Polis sedang mengesan seorang lelaki bagi membantu siasatan kes pecah rumah melibatkan kediaman pegawai tinggi kerajaan bergelar Tan Sri di Nilai Impian, dalam kejadian 13 Ogos lalu.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Abdul Malik Hasim berkata, lelaki itu dikenali sebagai Julian Said berusia 37 tahun dengan alamat terakhir di Kampung Tawadakan, Kota Belud, Sabah.

"Polis menerima laporan berhubung kejadian tersebut pada jam 1.10 petang yang mana terdapat beberapa barang hilang dengan anggaran kerugian RM5,000.

"Siasatan mendapati terdapat kesan umpil pada gril pintu utama serta pintu masuk utama," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Ujarnya, susulan itu pada 16 Ogos lalu, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai dan Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan telah membuat tangkapan terhadap dua lelaki tempatan berusia 40-an.

"Pihak polis berjaya menemui semula sebahagian barang-barang yang dilaporkan hilang. Semakan mendapati kedua-dua suspek berkenaan mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.

"Ujian air kencing terhadap mereka juga mendapati masing-masing positif dadah jenis Methamphetamine," katanya.

Abdul Malik berkata, siasatan lanjut mendapati terdapat tiga suspek terlibat dalam kejadian pecah rumah berkenaan.

Artikel Berkaitan:

"Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung Julian diminta menyalurkan maklumat di balai polis berhampiran bagi membantu siasatan kes.

"Boleh juga menghubungi pegawai penyiasat kes Inspektor Muhammad Afandi Othman di talian 019-8156812. Kes seterusnya disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!