PRU16: BN kekal guna lambang dacing, tak tolak kerjasama parti Kerajaan Perpaduan
KUALA LUMPUR - Meskipun Barisan Nasional (BN) kekalkan pendirian untuk menggunakan lambang dacing pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) akan datang, pakatan itu tidak menolak sebarang kerjasama dengan 18 parti lain dalam Kerajaan Perpaduan.
Perkara itu ditegaskan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam taklimatnya kepada barisan kepimpinan dan perwakilan parti sempena Perhimpunan Agung UMNO 2024 (PAU2024).
Beliau yang juga Presiden UMNO berkata, kerjasama itu bagi memastikan tidak berlaku sebarang pertindihan selain mengumpulkan sebanyak mungkin pengundi.
“Dalam tempoh tidak lebih tiga tahun, kita akan menghadapi PRU16. Saya bersetuju dengan pandangan rakan-rakan kepimpinan dan akar umbi bahawa dalam pilihan raya akan datang, kita akan tetap menggunakan lambang BN.
“Namun tidak menolak sebarang kolaborasi dengan 18 parti dalam kerajaan supaya tidak berlaku pertindihan dan terdapat kerjasama dalam menggamit kepungan pengundi.
“Ini mesti dilakukan dari sekarang kerana tidak mahu keserasian hanya wujud ketika pilihan raya, sebaliknya ia harus dibina dari sekarang,” katanya dalam sidang akhbar selepas Sesi Taklimat Presiden sempena Perhimpunan Agung UMNO 2024 (PAU2024), di sini pada Rabu.
Dalam pada itu Ahmad Zahid memaklumkan, beliau telah menggariskan lima perkara utama dalam usaha memperkasakan hala tuju baharu parti Melayu itu.
Menurutnya, barisan kepimpinan dan ahli parti di semua peringkat harus mengambil ibrah dari kemenangan calon BN pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, baru-baru ini.
“Kerusi yang kita kalah telah dapat ditebus semula di negeri yang dikuasai pembangkang.
"Mereka pun tidak dapat mempertahankan kerusi itu, ertinya jika ada telahan bahawa UMNO tidak lagi releven atau ditolak orang Melayu, jelas kemenangan ini memberikan satu nada baharu dalam perjuangan di semua peringkat.
“Jika semua pihak bersatu hati, menyusun dan menstukturkan strategi sebaik-baiknya dan berusaha bersungguh-sungguh, insya-ALLAH kejayaan akan pasti memihak kepada kita sebagaimana yang berlaku di Nenggiri,” ujarnya.
Timbalan Perdana Menteri itu turut mengingatkan jentera parti supaya menggunakan pendekatan berbeza mengikut landskap politik tempatan agar bersesuaian dengan suasana kawasan terlibat.
“Sebagai sebuah parti rumpun Melayu, pengisian agenda ummah juga kita terjemahkan tanpa mengenepikan lain-lain kumpulan etnik, kaum, budaya, agama dan bahasa.
“Dalam memperjuangkan agenda, usaha untuk menyantuni lain-lain kaum mesti berjalan secara autentik.
“Tujuh menteri dan enam timbalan menteri UMNO juga telah menunjukkan prestasi yang terbaik dalam kerajaan, apabila diberi amanah dan tanggungjawab, kita laksanakan sepenuhnya demi rakyat dan perjuangan parti,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!