Wan Ahmad Fayhsal panik, cuba salahkan pihak luar - Fahmi
PUTRAJAYA - Kenyataan Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal yang mendakwa media rasmi PKR, Suara Keadilan, menyunting klip video ucapan Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah reaksi ‘panik’ dan cuba menyalahkan pihak luar, kata Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.
Bercakap dalam sidang media pasca Mesyuarat Kabinet di sini hari ini, jurucakap Kerajaan Perpaduan itu menjelaskan, beliau sendiri menonton siaran langsung ucapan Muhyiddin itu yang disiarkan menerusi media sosial.
"Bila dia panik dengan kenyataan yang telah dibuat, maka dia cari dan cuba salahkan mana-mana pihak. Saya sendiri menyaksikan ucapan mantan perdana menteri (Muhyiddin)... Sekarang ini saudara Wan Fayhsal mungkin panik, sebab sekali lagi Presiden Bersatu menjadi punca banyak kontroversi,” katanya.
Wan Fayshal yang juga Ketua Pemuda Bersatu semalam membuat laporan polis ke atas portal Suara Keadilan dengan dakwaan portal itu menerbitkan klip video yang disunting dengan niat jahat untuk mencemarkan nama baik Muhyiddin selaku pengerusi Perikatan Nasional (PN).
Ketua Pemuda Bersatu itu mendakwa rakaman video berkenaan disunting sehingga memperlihatkan Muhyiddin mempertikaikan tugas dan peranan Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ketika baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-16. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!