Tun M tidak pernah berusaha haramkan UMNO
SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tidak pernah berusaha mengharamkan UMNO seperti yang didakwa Presiden parti berkenaan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Pejabat Dr Mahathir dalam satu kenyataan berkata, tindakan tersebut boleh dilakukan serta-merta ketika masih memegang jawatan sebagai Perdana Menteri tetapi ia tidak berlaku.
“Sesungguhnya jika Dr Mahathir berhasrat untuk mengharamkan UMNO, beliau sebagai Perdana Menteri (ke-7 ketika itu) boleh arah Menteri Dalam Negeri melakukannya serta-merta. Tetapi selama dua tahun lebih Mahathir jadi Perdana Menteri, UMNO terus berada.
“Dr Mahathir menyuruh Ahmad Zahid membubarkan UMNO kerana parti itu sudah kalah (dalam Pilihan Raya Umum ke-14), tidak lagi mewakili orang Melayu, pemimpin-pemimpinnya terkait dengan rasuah dan sudah tidak lagi berjuang demi agama, bangsa serta tanah air seperti tujuan asal parti itu ditubuhkan,” katanya pada Rabu.
Sebelum ini media melaporkan, Ahmad Zahid secara terbuka mengakui beliau adalah dalang utama yang terbabit menggulingkan Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri ke-7, sebagai usaha menyelamatkan UMNO daripada diharamkan.
Beliau juga menyifatkan tindakan luar biasa tersebut penting untuk menentang Dr Mahathir yang didakwanya ketika itu mahu membatalkan pendaftaran UMNO.
Dalam pada itu, kenyataan tersebut menjelaskan, pembubaran yang dicadangkan terletak di atas bahu Ahmad Zahid dan kepimpinan UMNO jika mereka menyedari bahawa parti berkenaan terpesong daripada perjuangan serta tidak layak menggunakan nama UMNO.
Tambahnya lagi, Ahmad Zahid kemudiannya didakwa di mahkamah atas 47 pertuduhan berkaitan rasuah.
"Bahawa parti yang bernama UMNO masih ada hingga sekarang membuktikan parti itu tidak pernah diharamkan,” tegas kenyataan itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!