Sindiket guna orang tempatan mohon pasport Malaysia untuk warga Sri Lanka
PETALING JAYA - Sindiket yang menggunakan warga tempatan sebagai orang tengah untuk membuat permohonan mendapatkan pasport Malaysia bagi warga Sri Lanka terbongkar selepas penahanan empat individu di Pejabat Imigresen Kelana Jaya, di sini pada Selasa.
Pengarah Imigresen Selangor, Khairrul Aminus Kamaruddin berkata, tangkapan kira-kira jam 2.35 petang itu membabitkan tiga warga tempatan dan seorang warga asing.
Katanya, dua daripada mereka merupakan wanita berusia 34 dan 37 tahun yang juga adik beradik.
"Dua beradik ini telah membawa seorang suspek lelaki yang juga warga Sri Lanka ke Pejabat Imigresen Kelana Jaya bagi mendapatkan Pasport Antarabangsa Malaysia.
"Salah seorang wanita itu mendakwa lelaki Sri Lanka itu kononnya merupakan anak kandungnya dengan mengemukakan sijil lahir warga Malaysia," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Beliau berkata, semakan dokumen dan soal siasat yang dibuat oleh pegawai bertugas di kaunter mendapati terdapat keraguan identiti dan pengenalan yang dikemukakan untuk permohonan pasport Malaysia.
Jelasnya, siasatan lanjut terhadap suspek lelaki itu mengaku sijil lahir itu bukan miliknya dan merupakan warga Sri Lanka berusia 19 tahun.
"Imigresen turut menahan seorang lelaki tempatan berusia 38 tahun yang mengaku membawa ketiga-tiga suspek terbabit untuk membuat permohonan pasport," ujarnya.
Tegas beliau, siasatan awal mendapati sindiket dipercayai membayar RM2,000 kepada warga tempatan berkenaan untuk mendapatkan naskah pasport itu.
"Tiga warga tempatan itu telah direman empat hari untuk siasatan di bawah Seksyen 12A Akta Pasport 1966, manakala lelaki Sri Lanka itu diambil tindakan mengikut Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!