Thailand lapor kemungkinan kes pertama mpox clade 1b

Thailand mungkin mencatatkan kes pertama strain mpox baharu yang lebih mudah berjangkit daripada seorang lelaki Eropah. Foto hiasan
Thailand mungkin mencatatkan kes pertama strain mpox baharu yang lebih mudah berjangkit daripada seorang lelaki Eropah. Foto hiasan
A
A
A

BANGKOK - Thailand mungkin mencatatkan kes pertama strain mpox baharu yang lebih mudah berjangkit daripada seorang lelaki Eropah, menurut Jabatan Kawalan Penyakit negara itu pada Rabu.

Ketua Pengarah Jabatan Kawalan Penyakit, Dr Thongchai Keeratihuttayakorn berkata, pihaknya belum dapat mengesahkan sama ada ia adalah kes mpox clade 1b.

Beliau berkata, pesakit berusia 66 tahun itu telah melakukan perjalanan dari sebuah negara Afrika yang sedang mengalami penularan wabak berkenaan dan transit di sebuah negara Timur Tengah sebelum tiba di Thailand pada petang 14 Ogos kira-kira 6 petang.

"Pada pagi 15 Ogos, pesakit mula demam dan mendapati terdapat beberapa benjolan pada kulitnya. Dia pergi ke hospital dan ujian menunjukkan bahawa ia adalah mpox," katanya pada sidang media di sini pada Rabu.

Dr. Thongchai berkata, beliau sedang menunggu keputusan ujian lain untuk menentukan sama ada ia adalah clade 1b dan keputusannya akan diketahui dalam beberapa hari akan datang.

Beliau berkata, jabatan itu telah mengesan 43 penumpang yang duduk dua baris daripada pesakit di dalam pesawat, serta individu yang ditemuinya dalam perjalanan dari lapangan terbang.

"Mereka ini akan dipantau selama 21 hari tetapi setakat ini tiada seorang pun daripada mereka menunjukkan sebarang gejala.

"Ini mungkin kes pertama mpox clade 1b di Thailand dan kami sedang memantau situasi ini” katanya.

Artikel Berkaitan:

Minggu lepas, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengisytiharkan mpox sebagai kecemasan kesihatan awam yang menjadi perhatian antarabangsa. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!