Bot karam Sungai Kayan: Mayat mangsa kedua ditemui

Mayat Helena Fasha Petrus, 17, dijumpai terapung lebih kurang 1 km dari Pos Kawalan Bomba dan Penyelamat di Kampung Selampit, berdekatan sungai itu. Foto JBPM
Mayat Helena Fasha Petrus, 17, dijumpai terapung lebih kurang 1 km dari Pos Kawalan Bomba dan Penyelamat di Kampung Selampit, berdekatan sungai itu. Foto JBPM
A
A
A

KUCHING - Mayat mangsa kedua yang dilaporkan hilang dalam tragedi bot karam di Sungai Kayan, Lundu, kira-kira 72 km dari sini ditemukan jam 5.30 petang tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba dan Penyelamat Sarawak berkata, mayat Helena Fasha Petrus, 17, dijumpai terapung lebih kurang satu kilometer dari Pos Kawalan Bomba dan Penyelamat di Kampung Selampit, berdekatan sungai itu.

Beliau berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) kini beralih ke arah mencari Alasma Jithil, 14, mangsa ketiga yang masih hilang.

Pagi tadi, mayat mangsa pertama, Vilkie Wilson, 15, ditemukan terapung kira-kira 10 meter dari Pos Kawalan Bomba dan Penyelamat pada pukul 11.58 pagi.

Semalam, dalam kejadian 6.10 pagi, sebuah bot yang dinaiki 20 orang telah karam di Sungai Kayan dengan 17 mangsa berjaya menyelamatkan diri, manakala tiga lagi mangsa dilaporkan hilang.

Dalam pada itu, ibu kepada salah seorang mangsa insiden itu berharap anaknya, Alasma Jithil, 14, dapat ditemui.

Mutiar Nyodieng, 50, berharap pasukan SAR dapat menemukan jasad anaknya itu, walau apa pun keadaannya.

"Saya berharap pihak polis, bomba dapat mencari anak saya, walaupun saya tahu memang tidak ada harapan hidup, yang penting saya tengok jasad,” katanya ketika ditemui pemberita di pusat operasi SAR insiden itu.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, adalah menjadi kebiasaan bagi anak bongsunya itu ke sekolah menaiki bot yang merupakan pengangkutan utama ke sekolah setiap hari serta tidak menyangka kejadian tidak diingini berlaku.

"Hancur... hati siapa yang tidak hancur sebagai seorang ibu apabila mendapat tahu anaknya hilang ketika menaiki perahu,” katanya dengan nada sayu apabila menerima khabar tentang insiden yang menimpa anaknya itu. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!