Kelantan Warriors sasar langkah ke Liga Premier
GABUNGAN Sepak Takraw Kelantan (Gastak) mempertaruhkan barisan berpengalaman dan baharu Kelantan Warriors yang diyakini mampu melangkah Liga Premier dalam saingan Liga Sepak Takraw (STL) tahun ini.
Presiden Gastak, Datuk Abdul Fattah Mahmood berkata, menyedari cabaran dan saingan yang ada daripada pasukan lain, Kelantan Warriors ditampilkan dengan kekuatan serta kemampuan yang tersendiri.
Menurut beliau, Liga Sepak Takraw memasuki satu dekad penganjuran pada tahun ini manakala kejohanan bagi saingan Division 1 akan dianjurkan bermula 26 hingga 30 Ogos ini di Dewan MBMB Bukit Serindik, Melaka.
“Pasukan Kelantan Warrios akan bersaing dalam saingan Liga Division 1 berdepan dengan sembilan pasukan untuk merebut dua slot di peringkat akhir.
“Perubahan format oleh penganjur iaitu dua pasukan yang memasuki akhir Liga Division 1 akan layak secara automatik untuk bersaing di Liga Premier memberi peluang untuk semua pasukan bersaing merebut slot tersebut.
“Kelantan Warriors tahun ini akan turun dengan matlamat dan hasrat bagi mengisi slot akhir Division 1 seterusnya layak ke Liga Premier,” katanya pada sidang akhbar Memperkenalkan Pemain dan Penaja Pasukan Sepak Takraw Kelantan Warriors STL 2024, di sini, pada Rabu.
Barisan pemain itu ialah Muhammad Fakhrul Akmal Mohd Nakoin (tekong), Siwakorn Thanaka (tekong), Mohd Haikal Mohamad Jamil, Rusdee Leerem (import dari Thailand), Muhamad Adli Abu Bakar, Ahmad Badrie Amin Azmi dan Muhammad Amirul Amir Mohd Alwi (tekong) yang dikendalikan Ketua Jurulatih, Rukman Mustafa.
Turut hadir, Exco Jawatankuasa Belia, Sukan NGO dan Perpaduan Masyarakat negeri Kelantan, Zamakhshari Muhamad.
Abdul Fattah berkata, pemilihan pemain oleh pengurusan pasukan dilakukan secara terperinci dengan mengambil kira kaji selidik dan laporan daripada prestasi pasukan tahun lepas selain kejohanan yang dilalui termasuklah melalui penganjuran Kejohanan Sepak Takraw Kelantan Open 2024 lalu.
“Dalam keterbatasan masa dan kewangan, kami dapat daftarkan pemain terbaik dan berpengalaman yang sudi mencurahkan khidmat untuk Kelantan Warriors pada tahun ini.
“Gabungan pemain berpengalaman dan baharu dalam pasukan kali ini diharapkan dapat menampilkan permainan yang berkualiti untuk dipersembahkan kepada penyokong Kelantan,” katanya.
Tambah beliau, bagi memastikan kejayaan pasukan, pihak Gastak juga menjalinkan hubungan dan kerjasama dengan Azkia Group, Secure Pay, Hirex Printing Services, Naskeen Coffee dan Farmasi Amal Medic.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!