Penduduk Jinjang Selatan Tambahan tuntut penyelesaian pampasan pengosongan

Sebahagian penduduk berkumpul di Menara DBKL 1 bagi penyerahan memorandum penyelesaian isu pampasan pengosongan Jinjang Selatan Tambahan Kepong pada Rabu.
Sebahagian penduduk berkumpul di Menara DBKL 1 bagi penyerahan memorandum penyelesaian isu pampasan pengosongan Jinjang Selatan Tambahan Kepong pada Rabu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pemilik 560 kediaman dan lot kedai di Jinjang Selatan Tambahan Kepong di sini menuntut Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menyelesaikan isu pampasan pengosongan kawasan tersebut.

Setiausaha Gabungan Isu Perumahan dan Pampasan Jinjang Selatan Tambahan Kepong, Ameer Khan Bargathalli berkata, penduduk mendesak satu pertemuan segera diadakan dengan Datuk Bandar, Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif bagi tujuan itu.

Menurutnya, pengosongan itu susulan tanah tersebut terlibat dengan projek pembinaan perumahan yang telah dimulakan sejak 2013, namun status pampasan terhadap sebahagian penduduk masih menjadi tanda tanya.

"Penduduk belum mengetahui status pampasan susulan tidak menerima sebarang tawaran daripada DBKL.

"Sepatutnya rumah gantian diberikan kepada penduduk layak namun sehingga kini hanya 80 peratus daripada pembinaan rumah gantian itu disiapkan, manakala rumah bagi keluarga kedua belum bermula,” katanya pada penyerahan memorandum bersama sekumpulan penduduk di Menara DBKL 1 pada Rabu.

Ameer Khan berkata, sebanyak empat tuntutan dikemukakan dalam memorandum itu termasuk menggesa notis pengosongan terhadap pemilik lot kedai yang perlu berpindah selewatnya 31 Ogos ini dibatalkan.

Selain itu katanya, penduduk turut menuntut notis cabutan undi dibatalkan kerana didakwa dibuat tanpa pemakluman kepada gabungan penduduk.

“Penduduk juga meminta salinan senarai penerima pampasan untuk semakan bagi memastikan ketelusan dalam agihan pampasan.

Artikel Berkaitan:

"Kami juga memohon Datuk Bandar mengadakan satu pertemuan dengan penduduk asal Jinjang Selatan Tambahan bagi penyelesaian isu berkenaan yang berlarutan bertahun lamanya," katanya.

Sementara itu, DBKL menerusi maklum balas isu itu memberitahu, beberapa siri perbincangan sudah diadakan bersama wakil penduduk bagi penyelesaian isu berkenaan sejak 2019.

Dalam satu kenyataan, DBKL berkata, wakil penduduk juga mengambil maklum mengenai penghuni unit kediaman dibenarkan tinggal di tapak dan hanya akan berpindah selepas pembangunan rumah ganti siap sepenuhnya.

“Sementara unit komersial yang sebelum ini telah diarahkan mengosongkan tapak pada 31 Ogos 2024 diberi lanjutan tempoh pengosongan tapak sehingga hujung tahun ini.

"Bagaimanapun, DBKL akan meneliti segala butiran tuntutan yang terkandung dalam memorandum oleh Jawatankuasa Gabungan Isu Perumahan dan Pampasan, Persatuan Pembangunan Sosial Jinjang Selatan Tambahan, Persatuan Penghuni-Penghuni Jinjang Selatan Tambahan dan Jawatankuasa Penyelesaian Perumahan Tetap," katanya menerusi kenyataan pada Rabu.

Menerusi kenyataan sama, DBKL menjelaskan, Lot PT 26640 terlibat dengan penjualan tanah milik Datuk Bandar Kuala Lumpur kepada pemaju melalui perjanjian pada 23 November 2017.

Ujarnya, lot berkenaan terlibat untuk membangunkan rumah ganti berkeluasan 900 kaki persegi dan 750 kaki persegi serta rumah mampu milik kepada penduduk Ex-TOL (penduduk sementara), setinggan dan rumah panjang Jinjang Selatan Tambahan.

"Pembangunan rumah ganti 35 tingkat (3 bilik, 2 bilik air) sedang dalam pelaksanaan pembangunan.

"Kini telah mencapai status kemajuan sehingga 88 peratus dan dijangka siap pada akhir tahun 2024.

"Sesi cabutan undi pengisian unit rumah ganti keluarga pertama diadakan pada 29 dan 30 Jun lalu serta 13 dan 14 Julai lalu di Dewan Serbaguna DBKL, Jinjang Utara dengan 237 keluarga pertama telah hadir pada sesi cabutan undi itu," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!