Simpan dadah dalam rumah kedai sebelum jual pasaran luar negara
KUALA LUMPUR - Taktik menyimpan dadah dalam sebuah rumah kedai sebelum dihantar ke luar negara terbongkar susulan tangkapan seorang lelaki warga asing menerusi serbuan di Ampang Jaya pada Selasa.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Khaw Kok Chin berkata, serbuan dijalankan sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJK) kira-kira jam 12.30 tengah hari.
Beliau berkata, operasi dijalankan hasil kerjasama dengan Polis Diraja Malaysia dan Australia Federal Polis (AFP).
"Serbuan dijalankan menemukan sejumlah 25.65 kilogram dadah jenis methamphetamine, 717 gram heroin dan dua botol cecair kimia dengan kuantiti sebanyak 9,000 mililiter.
"Keseluruhan dadah yang dirampas dianggarkan bernilai kira-kira RM883,093 serta boleh digunakan seramai 180,000 penagih," katanya menerusi kenyataan pada Rabu.
Katanya, modus operandi sindiket adalah menyewa rumah kedai untuk dijadikan stor menyimpan dadah.
"Dadah ini dipercayai akan diedarkan untuk pasaran luar negara menggunakan perkhidmatan kurier.
"Selain itu, sindiket turut dipercayai mula aktif sejak awal tahun ini," katanya.
Menurutnya, saringan dijalankan mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine.
"Semakan dijalankan mendapati suspek tidak memiliki sebarang rekod jenayah lampau.
"Suspek direman tujuh hari siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!