Tali barut 'setting' kaunter: JIM tidak berkompromi, sokong tindakan SPRM
PUTRAJAYA - Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) mengalu-alukan tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan pegawainya yang terlibat dengan kes 'kaunter khas' di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Ketua Pengarah JIM, Datuk Ruslin Jusoh berkata, pihaknya menyerahkan sepenuhnya kes itu kepada SPRM untuk menjalankan siasatan lanjut dan akan memberikan kerjasama terbaik secara telus dan adil.
Beliau berkata, JIM sama sekali tidak akan berkompromi dan melindungi mana-mana pegawai yang terlibat melakukan pelanggaran integriti seperti salah guna kuasa dan rasuah.
Kata beliau, pihaknya memandang serius kesalahan dilakukan sama ada di pintu masuk negara atau mana-mana pejabat JIM di seluruh negara sehingga mencemarkan nama baik serta imej jabatan dan negara.
"Tindakan dan hukuman yang berat akan diambil berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada termasuk tindakan buang kerja jika pegawai yang melakukan kesalahan terbukti bersalah.
"JIM amat serius dan komited dalam memastikan tahap integriti pegawai jabatan ini sentiasa berada pada tahap maksimum," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Ruslin berkata, JIM turut mengalu-alukan orang ramai untuk melaporkan salah laku pegawai jabatan itu sekiranya terlibat dalam kes penyelewengan, penyalahgunaan kuasa, kesalahan tatatertib dan rasuah.
Menurut beliau, aduan boleh dibuat melalui talian 03-88801246 atau melalui e-mel aduanintegriti@imi.gov.my atau hadir sendiri ke Aras 4, Bahagian Integriti, Ibu Pejabat JIM Putrajaya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!