Politik Melayu kini dicemari politik toksik, batil - Mohamad

Mohamad menghadiri Perasmian Perhimpunan Agung Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO Malaysia 2024 di Dewan Merdeka hari ini. Foto Bernama
Mohamad menghadiri Perasmian Perhimpunan Agung Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO Malaysia 2024 di Dewan Merdeka hari ini. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, landskap politik Melayu di negara ini menyaksikan kemunculan 'politik toksik dan batil’ pada skala yang luar biasa.

Menurutnya, berdasarkan pemerhatian, politik matang, sopan, bernas dan bersandarkan idea terbaik telah mati di persada politik orang Melayu.

Sebaliknya, ia dimanifestasikan dengan segala bentuk fitnah, kebencian dan kata nista yang keterlaluan.

"Dalam PRU (pilihan raya umum) yang lepas, kita menyaksikan kemunculan ‘political hate speech’ yang sangat ‘unprecedented’.

"Media sosial telah menjadi arena kepada revolusi yang mengetengahkan ‘politik toksik’, kebencian dan nista ini.

"Ia telah memusnahkan nilai dasar yang mendorong kita berpolitik dan kenapa kita mendukung idealisme pergerakan politik," katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO di sini pada Rabu.

Beliau menambah, masa depan UMNO sangat bergantung kepada keberkesanan untuk memerangi ‘politik toksik'.

Justeru katanya, UMNO mesti kembali menjadi ‘ketumbukan politik yang rasional’ dan menjadi armada yang memerangi politik toksik ini dengan ilmu, hikmah dan kebaikan.

Artikel Berkaitan:

"Orang Melayu mesti disedarkan bahawa politik kebencian dan toksik yang melampau ini, akan menjadikan anti akal, anti kebenaran dan anti segala-galanya.

"Ia tidak akan menguntungkan sesiapa. Ia akan menambah perpecahan di kalangan orang Melayu.

"Ia akan mencederakan budaya dan adab politik Melayu dengan kecederaan yang dahsyat," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!