Gempur habis kedai runcit jual arak, rokok seludup

Antara barang kontraban yang dirampas menerusi Ops Royal di sekitar Kuala Lumpur sejak 12 Ogos lalu.
Antara barang kontraban yang dirampas menerusi Ops Royal di sekitar Kuala Lumpur sejak 12 Ogos lalu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menggempur 85 premis runcit dan merampas arak serta rokok seludup bernilai RM2.1 juta di sekitar ibu negara menerusi operasi khas sejak 12 Ogos lalu.

Ops Royal itu dijalankan JKDM dengan kerjasama Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di Jalan Pudu, Chow Kit dan Jalan Petaling.

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah, Norlela Ismail berkata, statistik setakat Rabu itu telah membuka 36 kertas siasatan.

Katanya, sebanyak 5,545 liter minuman keras dan 727,801 batang rokok telah dirampas selain tangkapan 35 individu.

Norlela (dua dari kanan) dalam sidang akhbar Ops Royal di ibu negara pada Rabu.
Norlela (dua dari kanan) dalam sidang akhbar Ops Royal di ibu negara pada Rabu.

"Siasatan mendapati tangkapan terdiri daripada warga tempatan dan asing yang berperanan sebagai peniaga di kedai-kedai runcit khususnya.

"Berdasarkan tindakan yang diambil ini, kita dapati peniaga-peniaga ini hanya menjual rokok dan minuman keras tidak sah ini kepada pelanggan tetap sahaja.

"Siasatan masih dijalankan untuk kenal pasti modus operandi kegiatan ini," katanya dalam sidang akhbar di sini pada Rabu.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, operasi ini dilaksanakan dalam usaha banteras penjualan dan pembekalan barang kontraban yang tertakluk di bawah Peraturan 42(1) Peraturan-Peraturan Kastam 2019.

Katanya, siasatan terhadap suspek yang ditahan dibuat di bawah Seksyen 135 Akta Kastam 1967.

Dalam pada itu, Norlela memaklumkan pihaknya turut mewujudkan khemah statik dan van bergerak sebagai platform menerima aduan, menyampaikan mesej anti penyeludupan selain membina kerjasama dengan komuniti awam.

"JKDM menyeru orang awam memberi kerjasama dengan menyalurkan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau pejabat kastam terdekat dan kita memberi jaminan bahawa setiap identiti pemberi maklumat dirahsiakan," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!