'Rakyat Palestin akan dihantar pulang, mereka rela mati di tanah air sendiri'

Mohamad (tengah) ketika sidang media selepas merasmikan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024 di WTCKL pada Rabu.
Mohamad (tengah) ketika sidang media selepas merasmikan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024 di WTCKL pada Rabu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Rakyat Palestin yang cedera atau sakit akan dihantar pulang semula ke tanah air sebaik selesai mendapatkan rawatan di negara ini.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, pihaknya telah mengadakan perbincangan bersama pemimpin Palestin dan majoritinya mengatakan rakyat wilayah berkenaan tidak mahu meninggalkan tanah air.

Menurutnya, golongan terbabit lebih rela mati di tanah sendiri daripada berhijrah ke negara lain hanya kerana ingin mendapatkan bantuan kemanusiaan.

“Mereka tak mahu datang, tak nak keluar atau tinggalkan Palestin. Mereka lebih rela mati di tanah air sendiri.

“Tetapi, dengan janji kita bawa mereka ke sini (Malaysia) untuk memberikan sedikit bantuan kemanusiaan kepada wanita dan kanak-kanak yang cedera.

“Kita mesti menghantar mereka balik dan orang ramai tak boleh persoalkan perkara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas merasmikan Perhimpunan Agung UMNO 2024 yang bertempat di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini pada Rabu.

Hadir sama, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani; Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh; Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Noraini Ahmad dan Naib Ketua Puteri UMNO, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi.

Artikel Berkaitan:

Pada 16 Ogos lalu, media melaporkan seramai 127 rakyat Palestin selamat tiba di Pangkalan Udara Subang, Selangor kira-kira jam 2 petang dengan menaik pesawat Airbus A-400M milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM)

Seramai 41 orang bersama 86 waris sebelum ini menerima rawatan di hospital Mesir sebelum kerajaan mengambil keputusan untuk membantu memberikan bantuan kesihatan.

Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO memaklumkan, orang ramai diingatkan supaya tidak menjadikan kemasukan rakyat Palestin ke dalam negara sebagai satu isu yang perlu dihebohkan.

“Tak usahlah risau kalau mereka tidak dihantar pulang semula.

“Kita dah janji pada mereka menerusi hubungan dua hala manakala operasi dibuat oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Mohamed Khaled Nordin.

“Jadi, kita sebagai masyarakat antarabangsa perlu ada rasa kasihan kepada mereka,” ujar beliau.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!