Bonilla penyerang baharu Terengganu
KELAB Liga Super, Terengganu FC (TFC) meningkatkan ketajaman penyudah skuad Penyu apabila merekrut pemain import baharu Nelson Bonilla bagi mengharungi baki saingan Liga Malaysia musim ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Football Club Sdn Bhd (TFCSB), Mohd Sabri Abas berkata, Bonilla kelahiran San Salvador, El Salvador mengikat kontrak selama lapan bulan bermula 1 September 2024 hingga April 2025.
Katanya, pemain berusia 34 tahun itu yang juga kapten pasukan kebangsaan El Salvador pernah beraksi enam tahun di Liga Thailand dengan penampilan kali terakhir bersama kelab Sukhothai FC pada 2023.
Jelasnya, Bonilla menggantikan Ivan Mamut yang masih tidak dapat beraksi berikutan kecederaan serius dan baru sahaja menjalani pembedahan ketiga di Croatia.
"Bonilla telah beraksi di peringkat antarabangsa sejak berusia 21 tahun. Di Liga Thailand, dia telah membuat 130 penampilan dengan meledak 65 gol," katanya.
Sementara itu, pengendali skuad Penyu, Tomislav Steinbruckner menyifatkan Bonilla sesuai dengan corak permainan yang ditampilkan terhadap pasukan tersebut ketika ini.
Jelasnya, kehadiran pemain berketinggian 1.79 meter itu diharap dapat menajamkan jentera serangan kelab Pantai Timur tersebut yang disifatkannya masih bermasalah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!