PDRM sokong Kabinet pinda undang-undang pemandu mabuk

Abdul Hamid
Abdul Hamid
A
A
A

SEPANG - Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyokong sepenuhnya keputusan Kabinet untuk meminda undang-undang bagi mengenakan hukuman lebih berat terhadap pemandu di bawah pengaruh alkohol dan dadah serta pemandu yang memandu secara berbahaya hingga mengakibatkan maut.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, berkemungkinan lebih ramai menjadi mangsa sekiranya perkara itu tidak ditangani sebaiknya.

"Jika dilihat di Amerika Syarikat dan negara-negara barat lain, mereka mengambil isu itu dengan begitu serius, mengapa kita tidak ambil pendekatan sama?

"Saya sokong sepenuhnya keputusan Kementerian Pengangkutan untuk memperketat undang-undang terbabit dengan menambah hukuman," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perbarisan Tamat Latihan Asas Pegawai dan Pembantu Keselamatan Penerbangan (Polis Bantuan) Malaysia Airports Holdings Berhad di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini hari ini.

Mengulas cadangan hukuman penjara seumur hidup terhadap pemandu mabuk yang melanggar mati pengguna jalan raya, Abdul Hamid menyerahkan perkara itu untuk dibahaskan di Parlimen.

"Jika ada cadangan itu, biarlah Ahli Parlimen sendiri berdebat selepas mendapat nasihat pakar dan agensi berkaitan yang memberi input. Bagi kami, PDRM tetap yakin bahawa hukuman itu harus dipertingkatkan," katanya.

Kelmarin, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook dalam sidang media berkata, tiga seksyen di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu Seksyen 41, 44 dan 45 akan dikaji semula bagi memperketatkan undang-undang sedia ada dengan hukuman lebih berat.

Anthony berkata, kementeriannya akan memulakan perbincangan dengan pihak berkepentingan termasuk PDRM, Peguam Negara dan agensi berkaitan untuk membolehkan pindaan itu dibawa ke Parlimen seawal Julai.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, dalam kes berlainan, Abdul Hamid turut mengulas tentang tindakan M Indira Gandhi yang mahu menyamannya dengan tuntutan RM100 juta kerana gagal menemui anak perempuannya, Prasana Diksa yang hilang selepas diculik bekas suaminya, Muhammad Riduan, 11 tahun lalu.

"Saya tidak ada masalah dengan itu, dia boleh saman. Apa yang penting saya sebagai Ketua Polis Negara sendiri ambil berat kes ini dan ambil pendekatan dan berusaha agar kedua-dua pihak dapat ditemukan.

"Diharap masalah dapat dirungkai dan kebajikan anak itu dapat dijaga. Yang penting kedua-dua pihak (Indira Gandhi dan bekas suami) ada hak di sisi undang-undang. Jangan sebab berebut, kebajikan anak terabai. Hak mahu saman saya, kerajaan itu terpulang kepada dia (Indira Gandhi), saya tak mahu komen, di pihak PDRM sendiri kami tetap usaha selesaikan kes itu," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!