Xhaka ikrar terus julang Leverkusen
BEKAS pemain Arsenal, Granit Xhaka yang berpindah ke Bayer Leverkusen berikrar untuk terus menjulang kelab itu dalam musim keduanya di Bundesliga.
Musim lalu, Xhaka memainkan peranan penting membantu Leverkusen melakar kejuaraan Bundesliga buat kali pertama dalam sejarah 120 tahun kelab itu.
Kejayaan tersebut sekali gus menamatkan penguasaan 11 tahun Bayern Munich di pentas tertinggi Jerman itu, selain mencipta rekod hanya kalah sekali daripada 53 perlawanan dalam semua pertandingan.
Selain trofi Bundesliga, Leverkusen turut meraih Piala Jerman namun terlepas kejuaraan hatrik apabila tunduk kepada Atalanta pada perlawanan akhir Liga Europa.
Mengulas kejayaan Leverkusen musim lalu, Xhaka dengan tenang menjawab ia hanyalah permulaan.
“Banyak pasukan mahu mengalahkan Leverkusen tetapi ia bukanlah mudah dan kami tidak akan biarkan ia berlaku.
“Kami mahu berada di tempat sama seperti musim lalu dan saya akan berikan aksi terbaik untuk membantu kelab mencapai segala yang dihajati musim ini,” katanya.
Selepas 18 bulan terbaik dalam kariernya, Xhaka menjelaskan bahawa kritikan semasa di Arsenal memotivasikannya.
Dia telah bermain 297 kali untuk Arsenal tetapi sering menerima kritikan daripada penyokong sebelum kembali menjadi pemain kegemaran di Emirates pada musim terakhirnya.
Xhaka menegaskan semua kritikan tersebut telah memainkan peranan penting dalam kebangkitannya di Leverkusen.
“Saya sukakan kritikan kerana ia membuatkan anda lebih kuat.
“Jika 10 tahun lalu, saya adalah jenis pemain yang sangat beremosi. Hari ini, saya kurang emosional dan saya percaya bahawa pengalaman membentuk siapa anda,” katanya.
Leverkusen memulakan musim in dengan langkah kanan apabila mengalahkan Stuttgart untuk memenangi Piala Super Jerman minggu lalu dan akan memulakan kempen Bundesliga menentang Borussia Monchengladbach pada Sabtu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!