Di mana lagi tempat selamat untuk anak?
TRAGEDI malang menimpa kanak-kanak Orang Asli, Nuraina Humaira Rosli, 10, yang dilaporkan hilang sebelum akhirnya ditemui mati begitu menyayat hati.
Mayat murid Tahun Empat SK Pos Kuala Mu itu dijumpai sekitar jam 4.20 petang di kawasan berpaya di Kampung Bersah, Sungai Siput, Perak.
Lebih tragis lagi, laporan bedah siasat mendapati ada kemungkinan kanak-kanak lembam yang mempunyai masalah pendengaran itu telah dirogol dan dibunuh di tempat lain sebelum mayatnya diletakkan di kawasan mangsa ditemui.
Pada hari sama, polis menahan reman seorang remaja lelaki yang juga saudara terdekat mangsa untuk membantu siasatan.
Selain itu, ada juga kisah seorang kanak-kanak perempuan yang dipercayai menjadi mangsa dera sehingga meninggal dunia di sebuah pangsapuri.
Susulan itu, polis memberkas pasangan suami isteri yang juga ayah tiri dan ibu kandung mangsa bagi membantu siasatan.
Dua peristiwa di atas adalah antara beberapa siri kes kehilangan dan penderaan kanak-kanak yang ditemui meninggal dunia angkara perbuatan tangan durjana orang dewasa yang sepatutnya melindungi mereka.
Realitinya, ramai pelaku yang terlibat dengan jenayah ini bukanlah mengalami gangguan mental, jauh sekali gila mahupun berada di bawah pengaruh dadah, sebaliknya sihat dan boleh berfikir secara waras.
Justeru, apa yang mendorong mereka bertindak sehingga melanggar kewarasan manusia normal?
Kelu lidah penulis seolah-olah seperti tiada kesudahan kejadian sedih yang menimpa nyawa anak-anak, daripada dera, rogol sehingga membawa kepada pembunuhan.
Di mana lagi tempat untuk anak-anak ini bersandar jika persekitaran dan individu yang dekat dengan mereka menjadi punca mereka kehilangan nyawa.
Kita menyangkakan di rumah dan persekitaran tempat tinggal pastinya selamat untuk kanak-kanak tetapi malangnya ada manusia yang tidak berhati perut sanggup melakukan perbuatan kejam.
Penulis yang turut mempunyai anak, semakin hari semakin bimbang untuk melepas mereka berseorangan hatta bermain di depan rumah sekali pun.
Apatah lagi, setiap hari ada sahaja berita berkenaan remaja dan kanak-kanak hilang dan paling menakutkan andai penghujungnya mereka ditemui sudah tidak bernyawa.
Bukan kerana tidak percayakan anak-anak, tetapi situasi sekarang membuatkan kita semakin berhati-hati tidak kira dengan siapa kerana dalam kalangan ahli keluarga, kawan atau jiran kita pun ada yang ‘sakit’.
Kes-kes kematian tragis melibatkan kanak-kanak ini menunjukkan betapa pentingnya usaha berterusan untuk melindungi mereka daripada ancaman keganasan.
Kejadian hilang atau dera yang menimpa mereka mengingatkan kita tentang keperluan untuk sistem perlindungan kanak-kanak yang lebih baik, penguatkuasaan undang-undang yang berkesan dan kesedaran masyarakat tentang isu-isu keselamatan golongan itu.
Apabila persekitaran bukan lagi sandaran untuk kita menjaga mereka, anak-anak perlu diajar tentang keselamatan diri dan latih mereka untuk mengenali situasi bahaya dan cara melindungi diri sendiri.
Mereka hanya individu kerdil yang sememangnya terdedah kepada risiko keselamatan dan mudah menjadi sasaran manusia dewasa.
Keselamatan dan kesejahteraan kanak-kanak adalah perkara yang sangat penting, dan kita harus berusaha melindungi mereka.
Penulis teringat sebuah lagu tahun 1990-an nyanyian kumpulan Okid bertajuk Derita, yang sewajarnya dimainkan semula oleh stesen-stesen radio untuk terus mengingatkan masyarakat tentang keperluan menjaga dan menyayangi insan bernama kanak-kanak.
Kita tidak mahu kejadian malang yang berlaku hari ini, berulang pada masa hadapan dan tiada lagi nyawa insan kerdil yang tidak berdosa melayang.
Mereka harapan masa depan, tugas kita adalah untuk melindungi mereka, bukan meragut nyawa mereka dengan rakus tanpa rasa bersalah!
* Wan Rosida Wan Hamad ialah Editor Pengisian Sinar Online
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!