Risiko mpox ulangi fenomena pandemik Covid-19 rendah

Biarpun Mpox tak bahaya seperti Covid-19, orang ramai dinasihati berwaspada terhadap risiko jangkitan. Foto NICD, gambar kecil dari kiri: Dr Zainal, Dr Wan Mohd Zahiruddin
Biarpun Mpox tak bahaya seperti Covid-19, orang ramai dinasihati berwaspada terhadap risiko jangkitan. Foto NICD, gambar kecil dari kiri: Dr Zainal, Dr Wan Mohd Zahiruddin
A
A
A

SHAH ALAM - Potensi mpox atau cacar monyet untuk mengulangi fenomena pandemik Covid-19 adalah rendah kerana penyakit tular itu tidak mudah merebak antara manusia dengan kadar jangkitannya lebih sedikit berbanding Covid-19 atau campak.

Pakar Kesihatan Awam dan Epidemiologi Penyakit Berjangkit, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia, Profesor Madya Dr Wan Mohd Zahiruddin Wan Mohammad berkata, walaupun risiko mpox menjadi pandemik adalah rendah, orang ramai masih perlu berhati-hati terhadap kemungkinan jangkitan.

“Biarpun telah ada kes mpox dilaporkan di Malaysia, jumlahnya masih kecil dan bukan berstatus penularan tempatan. Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada tetapi tidak perlu panik atau terlalu bimbang.

“Kita perlu yakin Kementerian Kesihatan telah bersedia dalam kesiapsiagaan menghadapi pandemik mpox ini berbekalkan pengalaman menangani pandemik Covid-19.

“Ini termasuk penyediaan prosedur operasi standard (SOP), fasiliti dan sumber manusia dalam aspek pengesanan awal kes, diagnostik, pengurusan kes dan kontak serta latihan dan pendidikan kesihatan,” katanya kepada Sinar Premium.

Tambahnya, pakar-pakar kesihatan awam dan epidemiologi berpendapat mpox merebak melalui kontak rapat yang berpanjangan serta tidak mudah menular dalam persekitaran sosial yang biasa, kecuali jika mereka mempunyai sejarah kontak langsung dengan pesakit dijangkiti virus mpox.

Antara gejala Mpox adalah seperti demam berserta ruam “maculopapular rash” atau lepuh pada muka, tapak tangan, tapak kaki, kemaluan, konjunktiva dan kornea. Foto CDC
Antara gejala Mpox adalah seperti demam berserta ruam “maculopapular rash” atau lepuh pada muka, tapak tangan, tapak kaki, kemaluan, konjunktiva dan kornea. Foto CDC

“Selepas seseorang itu terdedah kepada virus mpox, individu berkenaan mungkin mengambil masa selama enam ke 13 hari (dalam julat lima ke 21 hari) sebelum fasa gejala penyakit mula kelihatan (tempoh inkubasi).

Artikel Berkaitan:

“Fasa bergejala boleh dibahagikan kepada dua iaitu fasa pertama selama lima hari pertama dengan gejala jangkitan virus yang tidak spesifik seperti demam, sakit kepala, belakang, otot dan kelesuan serta bengkak kelenjar limfa.

“Pada fasa kedua pula selepas satu ke tiga hari demam, muncul gejala ruam pada tangan, kaki, dada, muka atau mulut atau berhampiran alat kelamin.

“Ruam ini akan melalui beberapa peringkat yang pada mulanya boleh kelihatan seperti jerawat atau lepuh (berair) dan berakhir dengan kudis sebelum sembuh. Tempoh bergejala bagi jangkitan mpox ialah selama dua hingga empat minggu,” katanya.

Sementara itu Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Dr Zainal Ariffin Omar berkata, tanda-tanda klinikal mpox termasuk demam seperti demam selesema, ruam di badan, serta lepuh yang mirip dengan cacar ayam.

“Sekiranya mengalami simptom-simptom ini, adalah penting untuk segera berjumpa dengan doktor dan mengasingkan untuk mengelakkan penyebaran penyakit kepada orang lain,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!