Rompak, perkosa, 'sumbat' mayat ke dalam bagasi
SULAWESI - [DIKEMAS KINI] Tidak ubah seperti dalam drama pembunuhan, apabila seorang lelaki bertindak kejam dengan merompak kemudian memperkosa mangsa.
Malah tidak terhenti di situ, mangsa kemudian dibunuh dan mayatnya 'disumbat' di dalam sebuah beg bagasi.
Kejadian tragis itu berlaku di Jalan Pelelangan, Kelurahan Jagong, Kecamatan Pangkajene, Kabupaten Pangkep pada 8 Ogos lalu.
Mengesahkan perkara itu, Ketua Polis Sulawesi Selatan, Inspektor Jenderal Andi Rian R Djajadi berkata, suspek yang dikenali sebagai AND,37, melakukan perbuatan terkutuk itu ketika dia sedang mabuk.
"Suspek menceroboh rumah mangsa iaitu Ramlah, 46, dalam keadaan mabuk untuk mencuri dan kemudian memperkosa dan membunuhnya," katanya kepada pemberita pada Isnin.
Jelasnya, motif suspek melakukan perbuatan itu didorong oleh nafsu dan alasan ekonomi.
"Suspek pada Sabtu 10 Ogos lalu, pada jam 1 pagi waktu tempatan, baru pulang dari menyertai satu pesta dalam keadaan mabuk.
"Dia dipercayai masuk ke rumah mangsa melalui tingkap, kemudian mencuri wang dan mengambil telefon bimbit mangsa," katanya.
Tambahnya lagi, kemudian dia melihat mangsa sedang tidur dan cuba memperkosa wanita itu, mangsa kemudian cuba melarikan diri namun gagal apabila dicekik oleh suspek.
"Susulan itu mangsa tidak sedarkan diri dan suspek memukulnya sehingga meninggal dunia, selepas itu suspek pulang mengambil sebuah beg bagasi dan memasukkan tubuh mangsa ke dalamnya," katanya.
Suspek kini ditahan dan bakal dikenakan hukuman menurut Fasal 285 KUHP Terkait Perbuatan Pemerkosaan dan Fasal 351 Ayat (3) tentang penganiayaan hingga menyebabkan kematian.
Suspek bakal dikenakan hukuman penjara seumur hidup atau 20 tahun penjara. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!