Mpox tidak mudah merebak
SHAH ALAM - Kemungkinan wabak mpox atau cacar monyet bermutasi menjadi lebih ganas di negara ini sangat kecil memandangkan sifat virus itu hanya boleh menular melalui sentuhan fizikal termasuk aktiviti seksual.
Pakar Virologi Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Dr Zamberi Sekawi berkata, ia berbeza dengan Covid-19 yang lebih mudah tersebar melalui titisan cecair yang terhasil daripada percikan air liur ketika bercakap atau batuk.
“Secara umumnya wabak cacar monyet ini boleh membawa maut dengan kadar kematian antara tiga hingga lima peratus tetapi ia tidak mudah merebak seperti Covid-19.
“Jangkitan wabak ini biasanya menular melalui sentuhan atau hubungan seksual. Jadi, kemungkinan ia bermutasi menjadi ganas adalah sangat kecil," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kemungkinan wabak yang yang semakin meningkat di Afrika ketika ini berupaya bermutasi lebih ganas seperti jangkitan Covid-19 yang melanda dunia termasuk Malaysia beberapa tahun lalu.
Ia susulan tindakan pihak tertentu yang berkongsi serta menyebarkan mengenai wabak berkenaan di media sosial hingga menimbulkan kebimbangan dalam kalangan orang ramai.
Kementerian Kesihatan sebelum ini dilaporkan bersiap sedia melalui pengukuhan aktiviti pengawasan dan advokasi berkaitan mpox termasuk meningkatkan pemantauan di semua pintu masuk antarabangsa.
Ini susulan pengisytiharan Pertubuhan Kesihatan Sedunia bahawa mpox sebagai Kecemasan Kesihatan Awam yang Menjadi Kepentingan Antarabangsa (Kecemasan Kesihatan Awam dengan Kebimbangan Antarabangsa- PHEIC) untuk kali kedua pada 14 Ogos lepas.
Setakat Selasa, Republik Demokratik Congo (DRC) merekodkan lebih 570 kematian akibat jangkitan wabak tersebut.
Ditanya mengenai langkah pencegahan yang wajar diambil bagi mengekang penularan wabak tersebut Dr Zamberi berkata, semua pihak perlu elakkan diri daripada melakukan sebarang aktiviti berisiko.
Beliau dalam masa sama turut menggalakkan pengambilan vaksin sebagai langkah mengelak daripada dijangkiti wabak yang boleh membawa maut itu.
INFO
KES MPOX DI NEGARA ASEAN
Thailand 827
Vietnam 202 (8 maut)
Indonesia 88
Kemboja 17
Singapura 12
Filipina 10
Malaysia 9
Laos 1
Brunei 0
Timor-Leste 0
* Kes direkodkan dari 2022 hingga Ogos 2024
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!