'Tak lalu makan terkenang bau hamis darah mayat'

Abdul Jalil menunjukkan pingat dan buku rekod keanggotannya.
Abdul Jalil menunjukkan pingat dan buku rekod keanggotannya.
A
A
A

KUALA PILAH - Meskipun sudah lebih 50 tahun berlalu, namun peristiwa berdarah diserang hendap pengganas komunis yang mengorbankan rakannya di depan mata tidak pernah lenyap dari ingatan Lans Koperal Abdul Jalil Abd Samat, 73.

Suara jeritan dan tangisan kesakitan, kesedihan serta ketakutan masih terngiang-ngiang ditelinganya.

Apa tidaknya, dia yang ketika itu bertugas dalam pasukan 7 Rejimen Renjer Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Sarawak melihat sendiri rakannya ditembak tepat pada bahagian dahi.

Menceritakan insiden berkenaan, anak kelahiran Kuala Pilah itu berkata, ketika itu keadaan sangat genting dan pasukannya telah diserang hendap tiga kali.

"Bayangkan, kawan saya yang ditembak itu rebah di kaki saya dan insiden ini akan saya ingat sehingga akhir hayat.

"Waktu itu betul-betul getir dan memang tiada istilah tidur buat kami kerana perlu berkawal siang dan malam," katanya ditemui di rumahnya di Kampung Sri Pelangai di sini baru-baru ini.

Ujarnya, kejadian terbabit berlaku kira-kira setahun selepas insiden trak pasukannya diserang ketika dalam perjalanan menghantar senjata ke Biawak.

Tambahnya, kejadian itu telah mengorbankan 15 anggota dan dia sendiri pada awalnya turut disangka terbunuh.

Artikel Berkaitan:

Abdul Jalil
Abdul Jalil

"Masa itu kami berkonvoi dua trak, tapi kami dah mula syak berlaku sesuatu apabila satu lagi trak tidak sampai-sampai.

"Kami pun diarah tengok, rupanya-rupanya dah kena serang. Seingat saya 15 yang terbunuh dan kejamnya apabila mayat itu dikerat-ketat," ceritanya dalam keadaan sebak.

Kata Abdul Jalil, kali pertama berdepan situasi itu dia betul-betul kaku malah sehingga terfikir mahu melarikan diri daripada terus bertugas sebagai tentera.

Tambahnya, emosinya juga terganggu, namun timbul kekuatan selepas diberi semangat oleh rakan-rakan.

"Saya sampai tak lalu nak makan kerana terkenang bau hamis darah mayat. Periuk api itu tak payah cakaplah, memang ada di mana-mana. Nyawa itu memang di hujung tanduk.

"Tapi inilah perjuangan kami bekas-bekas tentera dahulu bagi membawa kemerdekaan dan keamanan kepada negara," katanya.

Disebabkan itu Abdul Jalil cukup terasa sekiranya jasa para pejuang terdahulu sepertinya tidak dihargai dan diingati.

Jelasnya, orang lain mungkin hanya boleh bercakap tetapi tidak pernah berdepan sendiri perit getir berada di medan perang dengan hati yang sentiasa berada dalam ketakutan akan terbunuh di tangan komunis.

"Bila keadaan di Sarawak sudah mula reda, saya dihantar pulang ke Semenanjung pada tahun 1978 dan ditugaskan di Ipoh.

"Perasaan waktu itu betul-betul lega dan selepas 15 tahun berkhidmat dalam tentera saya buat keputusan untuk berhenti," katanya.

Sehubungan itu, dia berharap generasi hari ini dapat menjaga keamanan yang dikecapi sekarang dengan tidak cuba mencetuskan sesuatu yang boleh mengundang ketidakharmonian negara.

"Apa yang saya boleh kata, ia bukannya mudah, banyak yang terkorban dan perlu dikorbankan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!