Cabaran UMNO dekati Gen Z lebih getir?

PAU 2024 akan berlangsung selama empat hari di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto Sinar Harian/MOHD HALIM ABDUL WAHID.
PAU 2024 akan berlangsung selama empat hari di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto Sinar Harian/MOHD HALIM ABDUL WAHID.
A
A
A

PERHIMPUNAN Agung UMNO (PAU) 2024 telah memulakan tirainya sejak semalam dan pengisiannya kali ini mungkin lebih menarik kerana memfokuskan kepentingan rakyat.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, perhimpunan tahun ini berbeza berbanding sebelumnya yang lebih menekankan isu politik dan perihal dalaman parti.

Bagaimanapun, difahamkan antara usul yang bakal dibincangkan oleh sayap parti sepanjang empat hari ini menyentuh cabaran untuk mendapatkan sokongan Generasi Z.

Hal ini kerana menurut Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, golongan berkenaan mengetahui selok-belok politik hanya melalui media sosial dan terus mempercayai setiap kandungan yang disajikan secara bulat-bulat.

Tambahnya, keadaan akan menjadi lebih getir apabila Generasi Z mampu menewaskan pelbagai dasar kerajaan menggunakan hujung jari sahaja.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan bahawa UMNO tidak mendapat sokongan ketika pilihan raya umum (PRU) lalu selepas pelaksanaan Undi18.

Justeru, Mohamad yang juga Menteri Luar menyatakan harapan agar sayap pemuda, wanita dan puteri UMNO berganding bahu serta berbincang secara teliti bagi menemukan solusi terbaik dalam mengatasi cabaran terbabit.

Katanya, tidak salah sekiranya UMNO berubah menjadi lebih proaktif dan menggunakan platform digital bagi menarik sokongan anak muda.

Artikel Berkaitan:

Jelas beliau lagi, golongan berkenaan mampu menyumbang pelbagai idea kreatif dalam memacu jentera parti seiring perkembangan semasa.

Penglibatan Generasi Z dalam kempen politik juga tidak dinafikan dapat menaikkan nama parti ke kumpulan sasar sekiranya ada penglibatan artis atau pempengaruh muda yang semakin ramai di negara ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!