Andrew pecah rekod kebangsaan dua kali
PERENANG Selangor Andrew Goh memperbaharui rekod kebangsaan dan Sukma bukan sekali, tetapi dua kali dalam acara 50 meter (m) kuak dada lelaki di Pusat Akuatik Pandelela Rinong, Kuching.
Andrew, 20, merakam masa 27.40 saat (s) pada aksi akhir untuk meraih emas, lebih pantas berbanding catatan 27.70s yang direkodkan Felix Viktor Iberle dari Indonesia semasa Sukan SEA Kemboja 2023.
Joseph Chan Kai Xiang dari Melaka (29.32s) dan wakil tuan rumah Hector Ho Rze Jun (29.67s) masing-masing membawa pulang perak dan gangsa.
Dalam sesi saringan ketiga, Andrew mencatat masa 28.03s untuk memperbaiki rekod kebangsaan sebelumnya iaitu 28.10s yang dilakukan pada Terbuka Malaysia 2023 di Kuala Lumpur dan rekod SUKMA 28.86s milik Foong Wei Tze dari Melaka dicatat ketika edisi 2018.
Pada Isnin, Andrew melakar rekod kebangsaan dan SUKMA baharu, memperbaharui catatan miliknya sendiri dalam acara 100m kuak dada iaitu 1:01.39s memadam rekod lama 1:02.30s yang dicatat pada Terbuka Malaysia 2024 dan rekod SUKMA Wong Fu Kang iaitu 1:03.05s pada edisi 2016.
Andrew yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS), dianugerahkan pingat emas oleh Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah yang berkenan berangkat ke venue hari ini melahirkan rasa syukur atas pengalaman berharga itu.
"Tidak pernah lagi saya beraksi di hadapan kerabat diraja, ia pengalaman menakjubkan dan sangat istimewa. Saya terinspirasi daripada rekod yang saya lakukan pada Isnin, jadi rancangan saya adalah untuk berenang sepantas yang mampu untuk memecah rekod.
"Saya menunggu Sukan SEA Thailand tahun depan. Saya hanya perlu berlatih mulai sekarang... berazam untuk menjadi lebih pantas dan meraih pingat di Sukan SEA," katanya.
Sementara itu, Isabelle Chiyi Buckley dari Wilayah Persekutuan turut merakam rekod Sukma baharu sebanyak dua kali untuk meraih pingat emas acara 50m kuak dada wanita.
Selepas mencatat 32.83s dalam saringan awal untuk memperbaiki rekod milik Christina Loh 33.29s yang dilakukan pada edisi 2016, perenang berusia 15 tahun itu sekali lagi mencatat masa baharu dengan 32.76s sebagai rekod temasya pada aksi final.
Atlet renang Johor Alicia Li Ann Soosai (33.10s) dan Low Ee Mang (33.68s) dari Selangor melengkapkan podium.
Rekod baharu renang terus dicipta apabila perenang Wilayah Persekutuan Muhammad Dhuha Zulfikry menamatkan saingan 1,500m gaya bebas lelaki dengan catatan 15:51.53s memadam masa 15:53.67s dilakukan wakil Sarawak Vernon Lee Jeau Zhi pada edisi 2012.
Muhammad Dhuha kemudian bergandingan dengan Yap Min Shun, Bryan Leong Xin Ren dan Jayden Tan untuk merangkul emas 4x100m gaya bebas lelaki dengan rekod temasya baharu 3:25.52s mengatasi 3:28.22s dicatat kuartet Selangor pada 2016.
Saingan renang pada hari ketiga hari ini diakhiri dengan satu lagi rekod baharu temasya dicipta dalam acara 4x100m gaya bebas wanita.
Kuartet Selangor Morgan Eleven Teo Kai Cheng, Yoong Jia Jia, Lim Shun Qi dan Khew Zi Xian membawa pulang emas dengan catatan masa 3:55.84s mengatasi rekod milik wakil Sabah pada edisi 2008 iaitu 3:56.51s.
Berbaki lagi dua hari acara renang, Wilayah Persekutuan dan Sarawak bersaing rapat untuk merebut gelaran keseluruhan renang dengan Wilayah Persekutuan mengumpul 12 emas, sembilan perak dan enam gangsa manakala tuan rumah memperoleh 12-1-7.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!