Pengurus syarikat rugi RM238,000 terpedaya penipuan konsesi balak

Seorang pengurus sebuah syarikat mengalami kerugian RM238,000 selepas terpedaya dalam penipuan urusan jual beli konsesi balak. Gambar hiasan. Gambar kecil: Azli
Seorang pengurus sebuah syarikat mengalami kerugian RM238,000 selepas terpedaya dalam penipuan urusan jual beli konsesi balak. Gambar hiasan. Gambar kecil: Azli
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang pengurus sebuah syarikat mengalami kerugian RM238,000 selepas terpedaya dalam penipuan urusan jual beli konsesi balak dua tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, mangsa berusia 38 tahun yang menjalankan perniagaan kontraktor pembalakan itu ditawarkan oleh dua lelaki untuk membuat pembelian kayu balak dengan nilai RM450,000.

Menurutnya, mangsa telah bertemu suspek yang dikenalinya pada 21 Ogos 2022 untuk berbincang mengenai urusan jual beli kayu balak tersebut sebelum membuat surat perjanjian di sebuah pejabat guaman.

"Suspek telah memperdaya mangsa dengan menyatakan proses mengeluarkan kayu balak tersebut telah mendapat kelulusan pihak Felcra Berhad.

"Mangsa juga telah ke lokasi pembalakan untuk melihat kawasan berkenaan dan berasa lebih yakin dengan apa yang ditawarkan oleh suspek," katanya di sini, pada Khamis.

Beliau berkata, mangsa membuat pembayaran berjumlah RM238,000 secara berperingkat ke dalam dua akaun sebagaimana diarahkan oleh suspek.

Bagaimanapun katanya, mangsa menyedari ditipu setelah dihubungi Pejabat Hutan Daerah Kuala Terengganu Utara pada 2023.

"Mangsa diberitahu bahawa Felcra Berhad mengesahkan dokumen yang ditunjukkan dua lelaki tersebut merupakan dokumen palsu, malah pihak Felcra juga tidak pernah memberikan projek konsesi balak kepada dua lelaki terbabit.

Artikel Berkaitan:

"Mangsa yang berasa ditipu telah menghubungi suspek untuk menuntut pembayaran semula, namun suspek enggan membayar balik wang tersebut," katanya.

Menurut Azli, mangsa kemudian membuat laporan di Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Daerah Kuala Terengganu pada Rabu dan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Dalam pada itu, Azli menasihatkan masyarakat supaya sentiasa peka dan berwaspada serta membuat semakan terlebih dahulu sebelum membuat sebarang transaksi wang.

"Langkah proaktif juga perlu diambil bagi mengelak menjadi mangsa penipuan," ujar beliau.

Ringkasan berita:

  • Mangsa Ditipu: Pengurus syarikat berusia 38 tahun rugi RM238,000 akibat penipuan urusan jual beli konsesi balak.
  • Modus Operandi: Mangsa ditawarkan pembelian kayu balak bernilai RM450,000 oleh dua lelaki yang mendakwa mendapat kelulusan dari Felcra Berhad.
  • Pembayaran: Mangsa membuat pembayaran secara berperingkat ke dalam dua akaun seperti diarahkan oleh suspek.
  • Penipuan Terbongkar: Mangsa menyedari ditipu setelah dihubungi oleh Pejabat Hutan Daerah bahawa dokumen yang ditunjukkan palsu.
  • Tindakan Lanjut: Mangsa membuat laporan polis dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
  • Nasihat Polis: Orang ramai dinasihatkan untuk sentiasa berwaspada dan membuat semakan sebelum melakukan sebarang transaksi.
Dijana oleh AI

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!