Gallagher beremosional tinggalkan Chelsea

Penyokong Chelsesa membentangkan sepanduk Gallagher di Stamford Bridge. Foto Agensi
Penyokong Chelsesa membentangkan sepanduk Gallagher di Stamford Bridge. Foto Agensi
A
A
A

CONOR Gallagher menulis surat perpisahan penuh emosi kepada penyokong Chelsea selepas pemain itu sah menyertai Atletico Madrid.

Menerusi surat itu, Gallagher menyatakan bahawa ia satu penghormatan menyarung jersi The Blues dan mengucapkan terima kasih kepada kelab tersebut kerana merealisasikan impian zaman kanak-kanaknya.

Gallagher, 24, menyertai Chelsea sejak berusia enam tahun dan dinobatkan Pemain Akademi Tahunan bagi musim 2018/2019.

Pada awal karier profesionalnya, Gallagher dipinjamkan ke Charlton Athletic, Swansea City, West Brom dan Crystal Palace sebelum disenaraikan dalam kesebelasan utama Chelsea pada musim 2022/23 di bawah kendalian Thomas Tuchel.

“Kepada semua orang di Chelsea, terima kasih kerana telah membuatkan mimpi saya menjadi kenyataan.

“Ia merupakan penghormatan terbesar setiap kali saya menyarung jersi kelab selain satu kebanggaan apabila dipilih sebagai kapten.

“Kenangan bersama kelab ini akan bertahan buat selamanya. Saya menghargai sokongan anda, apatah lagi apabila anda menyanyikan nama saya di Stamford Bridge... ia sangat istimewa bagi saya,” menurut isi kandungan surat itu.

Musim lalu, Gallagher yang mendapat kepercayaan Mauricio Pochetinno bermain di semua pertandingan kecuali satu perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL).

Artikel Berkaitan:

Sebagai rekod, Gallagher menyumbat lapan gol sepanjang 72 penampilan bersama The Blues dan meraih 18 kaps bersama skuad senior England.

Difahamkan, perpindahan Gallagher ke Atletico hampir gagal pada awal bulan ini, namun perpindahan berjumlah 33 juta pound (RM189 juta) diselesaikan pada Rabu.

Gallagher mengikat kontrak selama lima tahun bersama kelab Sepanyol itu.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!