Kebakaran hutan: Canberra isytihar darurat

Antara kemusnahan hutan akibat kebakaran belukar di Australia. - Foto AFP
Antara kemusnahan hutan akibat kebakaran belukar di Australia. - Foto AFP
A
A
A

SYDNEY - Pihak berkuasa Canberra hari ini mengisytiharkan darurat pertama dalam tempoh dua dekad susulan kebakaran hutan dahsyat yang melanda ibu negara Australia.

Ketua Menteri Wilayah Persekutuan Australia (ACT), Andrew Barr berkata, perintah dikeluarkan sejak bencana kebakaran itu menunjukkan kemungkinan bahaya yang bakal dihadapi hujung minggu ini.

Keputusan juga dibuat berikutan suhu panas diramal berlaku beberapa hari lagi dan dikhuatiri boleh menyebabkan kebakaran di bandar dengan populasi kira-kira 400,000 penduduk itu.

Kebakaran yang tidak terkawal di selatan ACT berhampiran Canberra telah merebak menjadi 185 kilometer persegi, hampir lapan peratus daripada kawasan tanah di wilayah terbabit.

"Kebakaran ini tidak boleh diramal. Kombinasi haba yang melampau, angin dan landskap kering akan menjadikan pinggir bandar di selatan Canberra sangat berisiko.

"Perintah darurat adalah isyarat paling tinggi yang boleh kita hantar kepada komuniti di ACT supaya mereka boleh bersiap sedia," katanya.

Perintah darurat akan berkuat kuasa selama 72 jam dan ia sekali gus memberi kuasa lebih besar kepada pihak berkuasa untuk memerintahkan pemindahan, menutup jalan dan mengawal harta swasta.

Selain itu, gelombang panas juga dijangka melanda negeri Victoria dan New South Wales (NSW) hujung minggu ini memandangkan 80 kebakaran sedang berlaku ketika ini.

Artikel Berkaitan:

Sejak September lalu, Australia berhempas pulas memadamkan kebakaran hutan dahsyat di seluruh pantai timur negara itu yang telah mengorbankan sekurang-kurangnya 33 orang dan kira-kira satu bilion hidupan liar.

Ia turut menyebabkan kemusnahan kira-kira 2,500 buah rumah dan lebih 11.7 juta hektar tanah.

Selain Parlimen Persekutuan Australia, Canberra juga menempatkan beberapa institusi kerajaan dan bebas serta muzium negara.

Pada 2003, empat orang maut dan hampir 500 buah rumah musnah dalam kebakaran Canberra. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!