Lebih 3,500 peserta meriahkan MSAM Run 2024
SHAH ALAM - Lebih 3,500 peserta dari pelbagai lapisan masyarakat mengambil bahagian dalam acara larian sempena Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2024 anjuran Permodalan Nasional Berhad (PNB) di Setia City Convention Centre.
PNB dalam satu kenyataan berkata, penganjuran MSAM 2024 bukan sekadar memfokuskan aspek kewangan, malah turut menumpukan peningkatan dari segi kehidupan, kesejahteraan dan kesihatan menerusi MSAM Run 2024.
“Meskipun literasi kewangan dan pelaburan bijak amat penting, namun kekayaan sebenar turut meliputi tubuh badan serta minda yang sihat. Di sinilah acara ini sejajar dengan tema dan menarik penglibatan pelbagai lapisan masyarakat.
“Acara terbabit menarik penyertaan dalam kalangan keluarga, kanak-kanak, penggemar sukan dan ahli komuniti setempat yang mengambil bahagian dalam larian lima kilometer (km) serta 10km.
“MSAM Run menawarkan cabutan bertuah dan cenderamata, termasuk hadiah utama basikal elektrik serta tiga jam tangan sukan bernilai RM1,000 setiap satu. Hadiah utama cabutan bertuah dimenangi oleh Rossilawati Abd Gani, 51, dari Kota Damansara, “ katanya pada Khamis.
MSAM 2024 berlangsung antara jam 10 pagi hingga 10 malam dengan pelbagai program dan aktiviti menarik disediakan serta kemasukan adalah percuma.
Acara larian pula dimulakan dengan kategori 10km pada jam 7.20 pagi diikuti 5km yang dilepaskan oleh Pengerusi Kumpulan PNB, YM Tan Sri Arshad Raja Tun Uda.
PNB turut memaklumkan, pihaknya telah merangka acara yang lebih inovatif untuk tahun ini berbanding sebelumnya.
Ujarnya, pelaburan nominal sebanyak RM10 ke dalam dana Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) adalah untuk memastikan peserta layak menyertai acara dan memperoleh kit larian serta pelbagai manfaat tambahan lain.
“Komitmen kewangan kecil ini bukan sahaja menambah nilai kepada pengalaman acara, tetapi secara tidak langsung menggalakkan peserta untuk membentuk tabiat menabung yang lebih baik.
“Dengan menggabungkan pendekatan ini, acara terbabit bertujuan mahu menekankan kepentingan tanggungjawab kewangan dan menyokong matlamat mengenai literasi kewangan secara meluas,“ jelas PNB.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!