[VIDEO] Pemuda UMNO bukan ejen PN - Akmal Saleh

A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh menegaskan sayap parti yang diterajuinya bukan ejen Perikatan Nasional (PN) apabila lantang mempertahankan sesuatu isu terutamanya membabitkan Melayu dan Islam.

Sebaliknya beliau berkata, perjuangan yang diangkat itu selari dengan dasar selaku parti Melayu terbesar di Malaysia.

“Walaupun UMNO berada dalam Kerajaan Perpaduan, Pemuda UMNO akan pastikan nilai perjuangan kita tidak pernah berubah. Kita tetap teguh mempertahankan hak-hak orang Melayu, Islam, dan kedaulatan Raja-Raja Melayu.

Dr Muhamad Akmal Saleh.
Dr Muhamad Akmal Saleh.

“Buktinya boleh tengok dan nilai sendiri. Berapa banyak kita bertelagah, berbeza pandangan dengan jiran-jiran (rakan parti dalam Kerajaan Perpaduan) sampai ada yang kata Dr Akmal Saleh ini bukan teamwork material (kerja berpasukan). Nak teamwork material macam mana, kalau dah memang mencabar pendirian kita?.

“Kami Pemuda UMNO Malaysia ini boleh berkawan dan bersahabat dengan sesiapa sahaja.

"Tapi jika kamu sentuh agama kami, kamu sentuh bangsa kami, kamu sentuh Raja-Raja kami, kami akan bangkit berlawan dan tentang kamu habis-habisan,” tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar Ketua Pemuda sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini pada Khamis.

Tambahnya, Pemuda UMNO juga telah membuktikan komitmen tinggi dalam memperjuangkan hal orang Melayu dan Islam termasuk isu stoking tertera kalimah ALLAH, tajaan syarikat judi kepada sekolah, katak politik dan BlackRock.

Artikel Berkaitan:

“Pemuda UMNO sentiasa menjadi suara tanpa takut dan ragu untuk membela rakyat bagi memperkasakan anak Melayu, ekonomi dan pendidikan.

“Kita tegar berhadapan dengan pelbagai isu yang menguji kredibiliti kita sebagai Pemuda UMNO,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!