'UMNO perlu kembali dominan, usah selesa dalam Kerajaan Perpaduan'
KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] UMNO perlu kembali menjadi dominan dalam landskap politik tanah air seperti di era kegemilangan sebagai parti Melayu terbesar negara.
Ketua Pemudanya, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, bagi mencapai hasrat itu, sayap yang diterajuinya memberi sepenuh kepercayaan kepada Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk merangka strategi terbaik.
“Setahun UMNO tinggal bersama dalam kejiran kerajaan perpaduan. Ini adalah satu pengalaman yang baharu, dan saya yakin ramai di antara kita yang merasakan perubahan ini.
“Tahun lepas, akar umbi rata-ratanya menzahirkan kerisauan, apakah bila Rumah UMNO berada dalam kejiranan ini, UMNO perlu menjadi pak turut. Perasaan kita juga sama dengan perasaan akar umbi.
“Kita tidak mahu UMNO terus selesa dengan situasi semasa sebagai pelengkap kepada Kerajaan Perpaduan.
"UMNO perlu kembali menjadi parti dominan dalam lanskap politik negara. Angka 26 perlu ditingkatkan kembali sehingga menjadi dua pertiga Dewan Rakyat. Ini baru tahap UMNO,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar Ketua Pemuda sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini pada Khamis.
Sementara itu, menyentuh mengenai kemenangan besar UMNO pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, Kelantan, Dr Akmal berkata, ia jelas memperlihatkan parti ini berupaya bertakhta kembali di hati rakyat terutamanya pengundi muda.
“Mungkin ramai pemerhati politik di luar sana menganggap kita hadir ke Nenggiri sebagai underdog.
"Ramai juga yang mungkin dalam kalangan orang UMNO sendiri yang tidak percaya dengan keupayaan dan kemampuan kita.
“Tapi kita sebagai pemuda, kita hadir dengan sebuah kepercayaan penuh tanpa ada sebarang keraguan sekalipun. Kita hadir dengan cara kita, berperang untuk menang,” ujarnya.
Beliau menambah, kemenangan di Nenggiri juga menjadi bukti rakyat masih sayangkan parti keramat orang Melayu ini.
“Bila mana rakyat nampak kejujuran kita dan rasa keikhlasan kita, di situlah UMNO berada dalam lubuk sanubari rakyat yang terdalam,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!