Krisis kepercayaan rakyat terhadap UMNO tak pernah pulih - Noraini

Noraini ketika menyampaikan ucapan dasar sempena Perhimpunan Agung Wanita UMNO Malaysia 2024 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada Khamis.
Noraini ketika menyampaikan ucapan dasar sempena Perhimpunan Agung Wanita UMNO Malaysia 2024 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada Khamis.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Krisis kepercayaan rakyat terhadap UMNO tidak pernah pulih sejak parti Melayu terbesar itu tumbang buat pertama kali selepas lebih enam dekad mentadbir negara pada 2018.

Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, defisit kepercayaan itu bukanlah sesuatu yang baharu dan jumlah kerusi yang diperoleh UMNO dan BN dalam Pilihan Raya Umum (PRU) semakin menurun.

Menurutnya, dalam PRU13, BN memperoleh 122 kerusi namun angka itu menurun kepada 79 kerusi dalam PRU14 dan terus merosot kepada 30 kerusi sahaja dalam PRU15.

“Dalam perhimpunan yang lalu, kita telah berbahas panjang mengenai kerancuan atau ketidaktentuan politik pasca PRU15.

"Kita sedar, senario politik telah berubah dan bagaimana kita harus meladani politik baharu ini. Namun hakikatnya, sehingga kini kerancuan itu masih ada.

“Kerancuan ini membawa kepada perbalahan politik secara terbuka, mencemarkan wajah demokrasi, yang menyebabkan pelabur melarikan diri daripada negara kita.

“Kerancuan yang paling kita takuti ialah ia menyebabkan UMNO bukan sahaja kehilangan kepercayaan kepada rakyat tapi sebahagian daripada ahli parti,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar sempena Perhimpunan Agung Wanita UMNO Malaysia 2024 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini pada Khamis.

Artikel Berkaitan:

Turut hadir, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Naib Presiden, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Setiausaha Agung, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Tambah Noraini, perhimpunan agung kali ini perlu dijadikan titik mula dalam menoktahkan krisis keyakinan rakyat.

“Kita perlu buat pembaharuan dalam persada politik negara untuk mencipta sebuah kisah klasik pada masa hadapan. Kisah UMNO yang kembali bangkit membina semula kekuatan,” jelasnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!